Pelajar tingkatan tiga lemas ketika mencari kepah

in Uncategorized by


LUMUT – Seorang pelajar tingkatan tiga ditemui mati lemas ketika mencari kepah di kawasan paya bakau Manjung Point 2 di sini, semalam.


Mangsa Muhammad Amirul Saiful Mazlan, 15, disahkan meninggal dunia kira-kira 8.45 malam di lokasi kejadian.


Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Muhammad Hanif Othman berkata semasa kejadian mangsa  dipercayai sedang mencari kepah bersama beberapa rakannya kira-kira 6.40 petang, sebelum kakinya  dipercayai tersangkut dalam paya.


“Bagaimanapun, mangsa tidak sempat naik ke tebing semasa air pasang kerana kakinya terbenam  dalam paya.


“Rakan-rakannya cuba membantu mangsa naik ke tebing, namun air terlalu deras menyebabkan mereka meninggalkan mangsa untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Muhammad Hanif berkata sebaik bantuan tiba, mangsa didapati masih berada di lokasi dengan kakinya terbenam sebelum dibawa naik ke tebing untuk diberikan rawatan awal oleh beberapa penduduk namun usaha menyelamatkannya gagal.


“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital dan mayat dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat,” katanya.


Sementara itu, ibu mangsa Norazrena Yahya, 37, berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu kira-kira 7.30 malam.


“Selalunya, dia akan balik sebelum senja dan semalam sebelum dia keluar kira-kira 5 petang, dia sempat bersalam dengan saya dan suami seperti biasa.


“Saya menunggu dia pulang ke rumah sebelum menerima panggilan yang memaklumkan dia hilang di kawasan paya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Seri Manjung di sini hari ini.


Norazrena berkata Muhammad Amirul Saiful merupakan anak yang baik dan sering membantunya membuat kuih seawal 4 pagi untuk dijual di gerai-gerai kecil. – Bernama


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]