Runtuhan tebing makin serius

in Edisi Utara by


KUALA NERANG – Seramai 300 penduduk di Kampung Kubu, Mukim Kurung Hitam merayu agar pihak berkuasa tempatan dapat mempercepatkan proses membaik pulih tebing sungai di kampung berkenaan yang semakin terhakis.


Mereka mendakwa, hakisan itu berlaku akibat kejadian banjir baru-baru ini dan setelah Empangan Pedu melepaskan air untuk aktiviti sawah.


Pengerusi JKKK Kubu, Md Saad Bakar berkata, hakisan pernah berlaku sebelum ini, yang kemudian dibaiki Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan meletakkan sangkar batu sepanjang 35 meter (m).


Bagaimanapun katanya, banjir pada awal September lalu menyebabkan tebing itu terhakis semula lebih 10 meter sehingga menyebabkan beberapa pokok berusia lebih 100 tahun turut tumbang ke dalam sungai berhampiran.


“Hakisan makin serius bila tinggal tiga meter saja lagi dari jalan utama yang jadi laluan penduduk di sini.


“Lebih membimbangkan, hakisan itu turut mengancam surau berdekatan. Beberapa tiang elektrik turut diubah bagi mengelakkan tumbang ke dalam sungai. Oleh itu penduduk berharap pihak berkuasa dapat bertindak segera bagi mengelak masalah lebih serius,” katanya.


Sementara itu, Jurutera JPS Padang Terap/Kubang Pasu, Mohamad Suaimi Ramli yang turut meninjau lokasi kejadian berkata, hakisan semakin serius kerana banjir berlaku dua kali pada bulan ini.


Menurutnya, hakisan berlaku selepas Sungai Padang Terap mula surut dan semakin serius apabila pokok yang menjadi benteng turut tumbang.


“JPS sudah pun menambak tanah dan meletak sangkar batu, tapi masalah banjir dan aliran air yang kuat dari Empangan Pedu menyebabkan tanah di situ terhakis semula.


“Oleh itu kita akan mohon peruntukan sebanyak RM500,000 bagi membina cerucuk keluli sepanjang 35 meter di kawasan terhakis. Masalah ini akan diselesaikan secepat mungkin agar laluan utama dan surau berdekatan tidak terjejas,” katanya, semalam.


Turut serta, Adun Kuala Nerang, Datuk Badrol Hisham Hashim.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]