Tidak sempat mengurut pelanggan

in Edisi Selangor KL by


KLANG – Pelanggan tidak sempat diurut sudah kena cekup.


Aktiviti itu berjaya dihidu pihak berkuasa dalam Ops Noda yang dijalankan sepasukan polis daripada Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sebuah rumah urut di Taman Desawan, dekat sini, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 9.30 malam hasil maklumat dan risikan.


Menurutnya, seramai enam wanita warga asing berusia lingkungan 20 hingga 30-an dipercayai bekerja sebagai tukang urut telah ditahan.


“Dalam serbuan ini, seorang lelaki tempatan merupakan penjaga premis turut ditahan.


“Kita telah merampas beberapa barang yang digunakan dalam aktiviti ini seperti botol minyak dan tuala,” katanya.


Beliau berkata, siasatan mendapati premis ini pernah diserbu sebanyak tiga kali sebelum ini dan pihaknya juga percaya premis ini menggaji wanita warga asing sebagai tukang urut tanpa mempunyai permit yang sah.


Tambahnya, ketika serbuan mendapati seorang pelanggan sedang menunggu giliran, manakala seorang lagi pelanggan sedang leka diurut.


“Kita telah menahan dua pelanggan ini untuk proses dokumentasi bagi membantu siasatan,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1963, Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 3, Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPK 2007.


 


 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]