Tun Abdullah dianugerah Felo Intan 2017

in Nasional by


SERDANG – Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi dianugerahkan Felo Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) 2017 pada istiadat penganugerahan Diploma Pascasiswazah Intan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang  (Maeps) di sini hari ini.


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa menyampaikan anugerah berkenaan kepada Nori Abdullah yang mewakili ayahandanya pada majlis tersebut.


Ali dalam ucapannya berkata Abdullah merupakan negarawan ulung dan telah menabur khidmat bakti yang besar kepada perkhidmatan awam dan negara.


Abdullah berkhidmat dalam perkhidmatan awam sebagai pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) selama 14 tahun dari 1964 sebelum menamatkan perkhidmatan pada 1978 untuk bergiat aktif dalam politik.


Selepas insiden rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, Abdullah diberi kepercayaan untuk berkhidmat di Majlis Gerakan Negara (Mageran) bagi membantu Tun Abdul Razak Hussein sebagai pengarah Mageran ketika itu.


Abdullah kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha di kementerian sama.


Abdullah dalam ucapan balasnya yang dibacakan Nori berkata, penganugerahan berkenaan amat bererti baginya dan mengimbau pengalaman menyertai perkhidmatan awam pada 1964 selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya.


“Pengalaman dalam perkhidmatan awam sebagai pentadbir membantu menyiapkan diri saya sebagai pemimpin (selepas menyertai politik),” katanya.


Abdullah turut menasihatkan seramai 377  PTD muda yang menerima diploma hari ini supaya tidak ingkar amanah dan tidak terlibat dengan salah laku terutamanya menyebarkan maklumat yang tidak sahih dalam media sosial. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]