77 GRO, 2 lelaki dikehendaki polis ditahan

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Seramai 77 wanita termasuk tujuh pondan warga negara asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan di pusat hiburan sekitar bandaraya ini menerusi serbuan Ops Noda yang dijalankan bermula jam 12.50 tengah malam tadi.


Operasi berkenaan melibatkan seramai lima pegawai dan 33 anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Johor bermatlamat membanteras aktiviti yang tidak sihat dan tidak bermoral dengan mensasarkan pusat hiburan yang disyaki menawarkan perkhidmatan GRO.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada enam warganegara Vietnam, 64 warganegara Thailand dan tujuh pondan warganegara Laos.


“Kesemua wanita dan pondan yang ditahan itu berumur di antara 22 hingga 38 tahun dan tangkapan mereka diambil tindakan di bawah Akta Imigresen.


“Seorang lelaki berumur 40 tahun yang mengaku bekerja sebagai pengurus premis turut ditahan.


“Lelaki berkenaan diambil tindakan atas kesalahan menggaji dan melindungi pekerja asing tanpa permit kerja yang sah, menjalankan pusat hiburan tanpa lesen perniagaan sah dan akan di siasat di bawah Akta Imigresen serta Enakmen Hiburan Negeri Johor,” katanya.


Azman berkata, seramai 80 termasuk lima wanita berumur 22 hingga 58 tahun turut diperiksa dalam serbuan tersebut.


“Polis turut menahan dua pelanggan lelaki yang masing-masing dikehendaki bersabit Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.


“Kita akan terus membuat serbuan, pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan untuk membanteras dan membendung segala gejala yang tidak sihat serta menggugat ketenteraman awam negeri di negeri ini khasnya dan keharmonian masyarakat setempat amnya,” katanya.


Beliau berkata, sebanyak 907 serbuan telah dibuat ke atas premis-premis yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran, rumah urut atau spa dan pusat-pusat hiburan di negeri ini bagi tempoh Januari hingga September lepas.


“Dalam serbuan tersebut seramai 2,355 orang wanita warganegara asing, 130 orang lelaki warganegara asing, 160 orang wanita tempatan dan 599 orang lelaki tempatan telah ditangkap kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti tidak bermoral ini.


“Polis juga berjaya merampas wang tunai yang disyaki hasil pendapatan kegiatan pelacuran berjumlah RM165,079.


“Daripada jumlah tangkapan tersebut, seramai 594 individu telah dituduh ke mahkamah. Selain itu, sebanyak 469 saman telah dikeluarkan kerana premis hiburan,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]