Alasan kepadatan penduduk punca denggi tak munasabah

in Edisi Selangor KL by


TANJONG KARANG РAlasan kepadatan penduduk menjadi punca denggi menular serius di negeri ini cukup tidak munasabah  seolah-olah kerajaan negeri mahu melepas tangan terhadap isu kesihatan rakyat Selangor.


Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar menjelaskan, kerajaan negeri seolah-olah mengabaikan isu kebersihan dan kesihatan rakyat Selangor kerana dilihat lebih suka berpolitik.


Menurutnya, alasan yang kononnya penduduk yang padat di Selangor disifatkan tidak masuk akal memandangkan Kuala Lumpur pun rakyatnya sama padat tapi tidak pula timbul isu wabak denggi yang serius.


“Soalnya sekarang ini, isu denggi tinggi di kawasan bandar disebabkan masalah sampah, pengurusan longkang tak betul dan kebersihan diabaikan sedangkan sudah jadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT).


“Kalau dulu masa mula-mula jadi menteri besar, saya masih ingat Azmin sanggup terjun longkang kononnya nak selesaikan isu sampah dan wabak denggi tapi sekarang ni belum setahun jagung dah ubah dasar lain.


“Kononnya rakyat sekarang ni dah tak mahu dengar cerita pasal longkang atau jalan tapi lebih nak tahu dasar negara sehinggakan isu kebersihan longkang pun ditolak tepi,” katanya.


Mengulas lanjut katanya, sikap dan pemikiran menteri besar yang tidak mengendahkan isu kesihatan rakyat apabila Selangor juara wabak denggi, tidak hairanlah isu masih berlarutan sehingga kini.


“Bila dah tengok pemikiran MB seperti ini, apa lagi orang bawahannya? Bukan saja juara wabak denggi tapi penyakit kencing tikus pun cukup serius.


“Sepatutnya kerajaan negeri mengambil pendekatan mencegah dari mengubati tapi saya tengok kerajaan negeri ni tak kisah mencegah tapi lebih banyak berpolitik.


“Pendekatan kerajaan negeri sekarang ni lebih kontradiksi dan tiada gunanya kad peduli sihat jika isu wabak denggi di Selangor masih gagal diselesaikan.


“Tidak seperti kementerian yang sama-sama bantu membendung wabak ini dengan mengeluarkan pekeliling kepada pemaju mengikut klausa yang ditetapkan mengarahkan pemaju supaya menyediakan perangkap nyamuk di kawasan projek mereka,” katanya.


Beliau demikian pada sidang media sempena Walkabout Ahli Parlimen Tanjong Karang di Taman Raden Jaya, petang semalam yang turut dihadiri pemimpin tiga sayap Umno dan penduduk setempat.


Sebelum ini, Exco Kesihatan Selangor, Dr Daroyah Alwi menyangkal kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya yang memberitahu Selangor mencatat rekod tertinggi wabak denggi disebabkan oleh faktor pengurusan sampah dan sisa pepejal yang lemah.


Daroyah berkata, kenyataan itu adalah tidak tepat serta tuduhan tidak berasas kerana berdasarkan data yang dikeluarkan jabatan perangkaan, jumlah kepadatan penduduk Selangor adalah sekitar 6.2 juta orang.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]