Ambil berat kepentingan caruman Perkeso

in Edisi by


MARAN – Majikan dan pekerja perlu mengambil berat kepentingan caruman melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebagai jaminan kebajikan sekiranya berlaku kemalangan ketika bekerja.


Pengurus Perkeso Cawangan Temerloh, Tarmizi Mokhtar berkata, setiap majikan perlu mencarum pekerja mereka dengan Perkeso manakala pekerja seharusnya mengambil maklum perkara itu bagi memastikan kebajikan mereka dan keluarga mendapat pembelaan sewajarnya.


Menurutnya, pekerja juga perlu membuat pilihan terbaik sekiranya memohon sesuatu pekerjaan berisiko tetapi tiada caruman Perkeso.


“Jumlah caruman tidak membebankan pihak majikan serta pekerja berbanding dengan manfaat yang mereka akan terima.


“Jika tiada caruman ditawarkan, buatlah pilihan terbaik sama ada mahu menerima pekerjaan itu atau pun tidak. Atau boleh juga mencarumnya dengan inisiatif sendiri,” katanya ketika ditemui selepas lawatan Perkeso Cawangan Temerloh bersama pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) Maran ke Felda New Zealand di sini, kelmarin.


Lawatan diadakan bagi menziarahi mangsa kemalangan jalan raya melibatkan kakitangan Paip Maran, Khairudin Mohd Razi, 36.


Khairudin bernasib baik apabila terselamat manakala dua rakan sekerjanya maut selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 91.5 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur berhampiran Kampung Sungai Ling di sini, Jun lalu.


Dalam pada itu Pengurus Paip Maran,  Noorhizuwan Bahudin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Perkeso dan kepimpinan setempat yang sentiasa menghulurkan bantuan kepada kakitangan seliaannya yang ditimpa kemalangan semasa menjalankan tugas.


“Semoga ia dapat menyuntik semangat kakitangan lain untuk melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh apabila kebajikan mereka terbela.


“Oleh kerana mangsa kemalangan merupakan pencarum dengan Perkeso, segala kos rawatan dan perubatan mangsa ditanggung oleh pihak Perkeso. Bantuan yang dihulurkan dapat membantu masalah yang dihadapi oleh suami dan keluarga,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]