Anjur forum memperingati Operasi Lalang 1987

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang akan menganjurkan sebuah forum dan tayangan filem pendek bagi memperingati peristiwa penahanan dalam Operasi Lalang 1987 yang dilaksanakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 30 tahun lalu.


Program tersebut akan diadakan di Hotel Eastern & Oriental pada 28 Oktober ini, bermula jam 2.30 hingga 5 petang, dengan tempat terhad kepada 500 orang sahaja.


Orang ramai yang berminat boleh membuat pendaftaran di laman sesawang opslalang.eventbrite.com atau di Institut Pulau Pinang di talian 04-2283306 atau menghubungi Kasthuriraani di talian 04-5681638.


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, penganjuran forum dan tayangan filem pendek itu bagi mengingati peristiwa hitam yang melibatkan penahanan ramai aktivis di bawah akta tersebut.


Forum itu membariskan beberapa panel iaitu Ketua Pembangkang Parlimen; Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Ketua Biro Perundangan Pakatan Harapan, Gobind Singh Deo.


Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, forum itu akan memberi tumpuan kepada kewujudan undang-undang regresif di negara ini.


Ditanya mengenai ketiadaan nama Pengerusi Bersatu, Tun Mahathir Mohamed sebagaiĀ  panel, beliau berkata, Tun Mahathir tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan lain.


Operasi Lalang 1987 dilaksanakan ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]