Bekas Presiden COB didakwa rasuah

in Sukan by


BEKAS Presiden Jawatankuasa Olimpik Brazil (COB), Carlos Arthur Nuzman telah didakwa atas pertuduhan rasuah, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan media pada Khamis.


Nuzman didakwa merasuah delegasi Afrika bagi memastikan Rio dipilih sebagai tuan rumah temasya Sukan Olimpik Musim Panas 2016.


Turut didakwa Sergio Cabral Filho, yang berkhidmat sebagai gabenor negeri Rio de Janeiro semasa Rio dipilih menjadi tuan rumah sukan itu.


Cabral sedang menjalani hukuman penjara 45 tahun bagi satu lagi kesalahan rasuah dan pada masa sama, berdepan puluhan lagi pertuduhan, semuanya berkaitan dengan rasuah dan sogokan kerajaan.


Nuzman ditahan pada 5 Oktober. Sebuah mahkamah Brazil pada Khamis mengarahkan Nuzman dibebaskan daripada tahanan, membenarkan permohonan habeas corpus beliau dan meletakkannya di bawah penahanan dalam rumah.


Nuzman berdepan pertuduhan rasuah, penglibatan jenayah, pengubahan wang haram dan pelarian modal.


Beliau dilaporkan memiliki aset yang banyak dalam bentuk wang tunai dan emas di bank-bank asing.


Selepas ditahan, Nuzman meletakkan jawatan sebagai Presiden COB, di mana beliau berkhidmat selama enam penggal berturut-turut.


Nuzman, yang merupakan bekas pemain bola tampar, telah memimpin jawatankuasa itu sejak 1995, dan semasa di kemuncak, beliau telah menjayakan penganjuran Sukan Olimpik 2016 dan Sukan Pan-Amerika 2007. – Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]