BN dijangka adakan mesyuarat parti komponen esok

in Politik by


KUCHING – BN dijangka mengadakan mesyuarat parti komponen di ibu negara esok.


Perkara itu dimaklumkan oleh Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Douglas Uggah Embas.


“Ibu pejabat BN menjemput 10  wakil daripada satu parti komponen BN untuk menghadiri taklimat di Kuala Lumpur esok. Berkenaan dengan apa saya tidak pasti,” katanya ringkas kepada pemberita, di sini hari ini.


Beliau ditanya mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Mandarin minggu lepas yang menyatakan semua parti komponen BN dijangka dipanggil untuk bermesyuarat dalam masa terdekat.


Terdahulu Uggah menyempurnakan pelepasan Kembara Batang Lupar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat  2017.


Sementara itu mengulas mengenai senarai calon PBB yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-14 nanti, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, berkata senarai akhir masih belum diputuskan.


“… masih ada perbincangan antara Presiden PBB (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) bersama Pengerusi BN (Datuk Seri Najib Tun Raza).  Apa yang pasti saya tidak akan bertanding,” katanya.


Untuk rekod, Uggah adalah Ahli Parlimen Betong selama tujuh penggal. Beliau kini merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Saban selepas menang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 tahun lalu. – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]