Butik Tateh buka cawangan ke-12

in Bisnes by


BABYMAMA Trading Sdn Bhd (Babymama Trading), pemborong dan peruncit kelengkapan ibu, bayi dan kanak-kanak, bakal membuka cawangan baharu Butik Tateh di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada 23 Oktober ini.


Pengarah Urusannya, Siti Shafurah Abas berkata, ia merupakan cawangan Butik Tateh yang ke-12 sejak ia ditubuhkan pada Jun 2012.


Seperti 11 cawangan sebelum ini, katanya, syarikat itu yakin cawangan terbaru butik tersebut akan mendapat sambutan kerana ia terletak di lokasi strategik, iaitu berdekatan dengan klinik kesihatan.


“Butik Tateh menawarkan kelengkapan ibu berpantang serta barangan bayi seperti produk berpantang dan menyusu, telekung kanak-kanak, serta pakaian menyusu.


“Selain menjual kelengkapan pelbagai jenama terkenal, Babymama Trading turut mengeluarkan produk sendiri berjenama Tateh seperti minyak telon dan kelapa dara, barut, bengkung, bedung berzip serta set tilam kekabu,” katanya.


Menurutnya, pada masa akan datang, Babymama Trading berhasrat untuk menambah cawangan Butik Tateh di seluruh negara.


“Kami beri peluang kepada mereka berminat membuka cawangan Butik Tateh di Johor Bahru, Johor; Pulau Pinang; Alor Setar (Kedah) dan sekitar Lembah Klang.


“Butik Tateh kini mempunyai cawangan di Bangi, Selangor; Shah Alam (Selangor); Setia Alam (Selangor); Seberang Jaya (Pulau Pinang); Sungai Buloh (Selangor); Cheras (Kuala Lumpur); Gombak (Selangor); Senawang (Negeri Sembilan); Saujana Utama (Selangor); Kuala Terengganu (Terengganu) dan Kelantan,” ujarnya.


Dalam pada itu, katanya, Babymama Trading merancang menembusi pasaran Brunei dan Singapura dalam tempoh dua tahun lagi.


“Kini, kami dalam proses mengukuhkan jenama dalam pasaran tempatan, sebelum ke luar negara,” katanya.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]