Cabar Tun M pulangkan kurniaan

in Edisi Johor by


PASIR GUDANG – Persatuan Bugis Johor mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad memulangkan semula Darjah Kebesaran yang dikurniakan atas kenyataan bekas pemimpin itu mengenai Bugis sebagai lanun.


Yang Dipertuanya, Datuk Awang Abdullah berkata darjah yang dikurniakan ke atasnya oleh Sultan Johor adalah keturunan Diraja berdarah Bugis.


“Tuanku sebenarnya tahu mengenai perkara ini dan kita tahu Tun Mahathir ada menerima darjah kebesaran daripada Sultan Johor.


“Jadi kita cabar dia untuk serahkan semula darjah tersebut kepada Tuanku kerana menghina orang Bugis serta Sultan Johor dan sultan-sultan berketurunan Bugis,” katanya pada sidang media di Taman Pasir Emas, di sini, semalam.


Awang menegaskan kenyataan Bugis sebagai lanun itu benar-benar mengguris dan perkataan terhina bagi masyarakat tersebut serta mendesak permohonan maaf atas kata-katanya itu.


“Kami mendesak Tun Mahathir memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan itu sebagai satu tuntutan yang mulia dalam Islam.


“Kita lihat dengan permohonan maaf ini dapat mengendurkan ketegangan yang bukan hanya kepada masyarakat Bugis di negara ini sebaliknya saudara Bugis seperti di Indonesia yang sama-sama turut tersinggung,” katanya.


Awang berkata, ada kira-kira 6 juta orang berketurunan Bugis di rantau ini.


Sabtu lalu, pada Himpunan Anti-Kleptokrasi di Petaling Jaya, Selangor, Tun Mahathir dilaporkan menyebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mungkin berasal dari lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis.


Kenyataan ini telah mengguris hari masyarakat Bugis, terutamanya di Johor.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]