Dana penyelidikan untuk IPT perlu diteruskan

in Nasional by


CYBERJAYA – Peruntukan penyelidikan untuk institusi pengajian tinggi (IPT) perlu diteruskan pada Bajet 2018 bagi memastikan pembangunan sains, teknologi dan inovasi (STI) terus berkembang.


Penasihat Sains Perdana Menteri, Tan Sri Zakri Abdul Hamid berkata, kerajaan telah melihat kepentingan STIĀ  dalam memainkan peranan mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat, seterusnya memberi manfaat dengan kewujudan keamanan dan kemakmuran kepada negara.


“Kerajaan telah melihat kepentingan STI dan rakyat kini perlu diperjelas kaitan antara STI dan kemakmuran negara lebih-lebih lagi apabila dunia kini menghadapi gelombang Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0),” katanya pada sidang media di sini hari ini.


Mengambil contoh peruntukan RM400 juta iaitu RM300 juta bagi memperkasa universiti penyelidikan dan RM100 juta sebagaiĀ  dana penyelidikan kepada IPT dalam pembentangan Bajet 2017 lalu, beliau berkata ia berjaya mencetuskan semarak ilmu dalam kalangan pelajar dengan peningkatan ranking universiti penyelidikan tempatan.


“Jadi adalah diharapkan peruntukan penyelidikan dan pembangunan untuk universiti penyelidikan pada bajet akan datang dapat diteruskan jika tidak boleh ditambah,” katanya.


Beliau berkata, usaha kini perlu ditumpukan kepada menggalakkan masyarakat terutamanya pelajar dan ibu bapa untuk memahami kepentingan STI dalam kemajuan kehidupan serta keterlibatan pemain industri dalam penggunaan STI menerusi projek-projek dan perniagaan mereka.


“Kerajaan hanyalah pencetus gerakan, yang seharusnya menggerakkan matlamat ini adalah rakyat dan pihak korporat,” katanya.


Katanya penguasaan STI dalam apa juga bidang di negara ini amat penting bagi mengelakkan kita daripada terus menjadi negara pengguna sebaliknya harus berubah untuk menjadi negara pencipta seperti negara industri maju yang lain.


Malaysia juga seharusnya memanfaatkan kelebihan sumber alam yang dimilikinya apatah lagi apabila dinobatkan sebagai antara 17 negara yang kaya dengan biodiversiti oleh Tabung Alam Sedunia, katanya.


“Kita berhasrat dengan percambahan ilmu STI di negara ini, kita mampu menggunakan ilmu dan kemahiran itu untuk menghasilkan produk-produk dari sumber alam kita yang bermanfaat dan bernilai serta boleh dipasarkan,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]