Dua lelaki ditembak ketika sedang minum

in Semasa by


JOHOR BAHRU – Dua lelaki cedera akibat ditembak semasa sedang minum bersama beberapa rakan di sebuah kedai kopi di Pekan Bukit Gambir dekat Tangkak, pagi ini.


Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, kejadian kira-kira 4 pagi itu dipercayai dilakukan seorang suspek tidak dikenali yang memakai helmet bertutup penuh dan bersenjatakan sepucuk pistol semi auto.


“Tujuh das tembakan dalam jarak dekat telah dilepaskan ke arah kumpulan mangsa yang sedang minum.


“Selepas kejadian, suspek bertindak melarikan diri dengan menunggang motosikal,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.


Mohd Khalil berkata kedua-dua mangsa yang berumur 30an  dihantar ke Hospital Muar dan Melaka untuk rawatan dan dilaporkan stabil.


Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 (1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat  1971), katanya.


Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menyalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tangkak ASP Azmi Ali di talian 012-3344200 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak di 06-9787471.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]