Dua penganggur didakwa merompak

in Semasa by


KUALA LUMPUR – Dua penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak dua lelaki pekerja pusat refleksologi membabitkan kerugian bernilai lebih RM3,000, minggu lalu.


Muammar Hanaffi Jaafar, 23, dan Muhammad Hakiim Abdullah, 21, didakwa bersama-sama telah merompak  Ho Jin Aik, 41, dan Wong Jen Fui, 48, dengan mengambil wang tunai RM600 dan tiga telefon bimbit  bernilai RM2,880 milik kedua-dua mangsa.    


Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di  sebuah pusat refleksologi di Sentul di sini pada 8.50 malam, 10 Oktober lalu mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.  


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amirah Sariaty Zainal tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua lelaki itu  yang tidak diwakili peguam atas alasan kesalahan itu adalah serius.   


Hakim Syed Faisal Syed Amir membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin setiap seorang dan menetapkan 15 November untuk sebutan semula kes. – Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]