Johor potensi jadi hab sukan elektronik

in Edisi by


ISKANDAR PUTERI  – Johor dilihat berpotensi untuk menjadi hab strategik bagi sukan elektronik atau e-sukan berdasarkan sambutan menggalakkan dalam penyertaan pelajar Akademi E-Sukan Iskandar Puteri (AOES) Malaysia.


Ketua Pegawai Eksekutif Livescape Malaysia, Iqbal Ameer berkata, sehingga kini terdapat 95 pelajar telah berdaftar dan mengikuti kem latihan insentif Dota 2 secara percuma bermula pada 9 Sept sehingga 23 Dis ini.


Beliau berkata, kedudukan Johor, yang berdekatan dengan negara jiran Singapura, mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai lokasi penganjuran acara e-sukan.


Katanya, AOES, yang akan dilancarkan Januari depan, merupakan kem latihan insentif Dota 2 yang mendedahkan pelajar dengan latihan e-sukan secara profesional di bawah bimbingan jurulatih profesional dan ditawarkan diploma di akhir pengajian.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian pertandingan pusingan akhir Dota 2 The Major League di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Educity, di sini hari ini.


Menurut Iqbal, permainan e-sukan kini telah mendapat perhatian serius daripada Kementerian Belia dan Sukan dan ini merupakan salah satu langkah yang dijalankan oleh pihaknya dalam membantu perkembangan industri e-sukan ini.


Dalam pada itu, pada program berkenaan, beliau berkata seramai 3,000 pengunjung dijangka hadiri sepanjang pertandingan tiga hari itu.


“E-sukan ini merupakan satu industri yang kini sedang berkembang dengan pesat dan mampu memberikan pulangan yang lumayan. Kerjaya dalam bidang ini juga boleh memberikan gaji yang tinggi dan ada dalam kalangan peserta pernah memenangi hadiah bernilai jutaan ringgit.


“Ini merupakan program yang dianjurkan buat pertama kali dalam negara dan kita berhasrat untuk menjadikan ia sebagai program tahunan dengan menarik lebih ramai pemain,” katanya.


Pertandingan yang bermula sejak 10 Sept lalu disertai 78 pasukan dari dalam dan luar negara yang mana pasukan yang berjaya sampai ke peringkat akhir akan memenangi hadiah bernilai RM10,000.


Sebanyak lapan pasukan akan bersaing merebut gelaran juara yang menawarkan hadiah wang  tunai berjumlah RM300,000 bersama trofi The Major League.


Pusingan akhir perlawanan Ahad ini akan bermula pada jam 11 pagi hingga 11 malam. – Bernama


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]