Kami tak janji apa-apa pinjaman, geran

in Edisi Selangor KL by


PUCHONG – Ketua Umno Bahagian Puchong, Datuk Mohamad Satim Diman ketika mengulas perkara itu, menasihatkan orang ramai khususnya penduduk Puchong supaya tidak terpedaya dengan janji manis pihak yang menawarkan pemberian bantuan geran dan dana kononnya disalurkan kerajaan.


Katanya, beliau menerima banyak pertanyaan mengenai kesahihan tawaran bantuan antara RM50,000 hingga RM1 juta yang antaranya mensyaratkan pemohon perlu menjadi ahli Umno dan ia terbuka kepada usahawan serta individu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).


Menurutnya, perkara tersebut sudah banyak kali dibangkitkan malah penjelasan mengenainya sudah dibuat sebelum ini.


“Kami di Pejabat Umno Bahagian Puchong telah dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa tawaran dijalankan kumpulan tertentu itu satu penipuan.


“Bagi mereka yang ragu-ragu mengenainya kena buat laporan polis, tawaran bantuan itu bukan di bawah pengetahuan Umno Bahagian Puchong dan bukan dilaksanakan pihak kami,” katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Umno nafi terlibat beri geran, dana kepada usahawan]


[ARTIKEL BERKAITAN: Umno Serdang nafi beri geran, dana hingga RM1juta]


[ARTIKEL BERKAITAN: Janji wang bantuan sebelum PRU14]


Mohamad Satim berkata, pihaknya tidak pernah menjanjikan apa-apa pinjaman ataupun bantuan geran sekiranya ada individu mendaftar sebagai ahli Umno.


“Biasanya kalau ada yang nak daftar masuk Umno kerana mereka sendiri nak jadi ahli bukan kerana bersebab. Kami tak janjikan apa-apa pinjaman, dana mahu pun bantuan geran yang memerlukan mereka daftar dulu jadi ahli Umno,” katanya.


Menurutnya, adalah tidak logik kerajaan memberi dana puluhan atau ratusan ribu kepada ramai orang kerana ia membabitkan peruntukan yang besar.


Beliau yang juga Ketua Penerangan BN Selangor menasihatkan orang ramai supaya tidak terus mempercayai janji manis pihak tertentu yang dipercayai cuba mengaut keuntungan dengan menjual borang permohonan.


“Mana boleh kerajaan bagi bantuan contohnya seorang RM200,000, cuba bayangkan kalau 100 orang mohon, berapa juta kerajaan nak bagi. Ada ke manamana kerajaan mampu nak bagi duit banyak itu? Lepas tu bantuan ini katanya tak perlu bayar balik, tentulah tak logik,” katanya.


Terdahulu, Umno menafikan sebarang penglibatan dalam penganjuran pemberian sebarang geran atau dana kononnya bagi membantu usahawan khususnya peniaga kecil dan syarikat baru dengan menjanjikan pulangan berganda dalam tempoh tertentu.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]