Kemudahan buat pengunjung

in Edisi by


BENTONG – Jambatan gantung yang dibina semula dengan kos RM106,000 siap sepenuhnya sebagai kemudahan kepada pengunjung Air Terjun Chammang di sini.


Pegawai Hutan Daerah, Shairani Mamat berkata, jambatan gantung itu memudahkan pengunjung berulang-alik menyeberangi Sungai Chamang semasa mereka berkunjung ke lokasi yang menjadi salah satu tarikan pelancongan yang ada di daerah ini.


Menurutnya, jambatan gantung sepanjang 40 meter itu disiapkan pada 2 Oktober lalu dan masih mengekalkan reka bentuk asal sebelum ia rosak dan ditutup oleh orang awam pada Januari lalu.


“Kita telah menggunakan kayu Cengal gred A sebagai tapak pejalan kaki kerana kayu cengal merupakan kayu yang tahan lasak dan tidak reput yang memakan masa untuk rosak memandangkan keadaan cuaca kita di Malaysia yang tidak menentu sekejap hujan, sekejap panas.


“Jadi, kayu lasak seperti kayu cengal ini perlu digunakan selain ia nampak cantik selepas dipasang di jambatan gantung tersebut. Kita juga telah menggantikan dengan kabel-kabel baharu kerana kabel sebelum ini kita dapati sudah mula berkarat dan kita telah tukarkan kesemuanya dengan benda baru,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Hadir sama, Penolong Jurutera Kanan Jabatan Perhutanan Negeri, Abdul Khalid Kamaruddin.


Dalam pada itu, Air Terjun Chamang yang mempunyai air terjun dan jeram mengalir deras dengan pelbagai rupa bentuk batuannya pasti memberi ketenangan minda kepada sesiapa yang berkunjung ke situ.


Bagaimanapun Shairani berkata, terdapat segelintir pengunjung, terutamanya yang datang dari luar daerah bersikap cuai dan enggan mematuhi arahan dikeluarkan Jabatan Perhutanan hingga mengundang tragedi meragut nyawa.


“saya menasihatkan pengunjung supaya menjaga keselamatan dan mematuhi segala peraturan ditetapkan semasa mandi di Air Terjun Chamang. Tolong jaga kelakuan semasa mandi di situ dan sentiasa patuhi arahan pada papan tanda amaran yang disediakan,” katanya.


Tambahnya, pihaknya akan cuba mengawal dan menjaga keselamatan pengunjung dengan sebaik mungkin dan akan dipertingkatkan dari masa ke semasa.


“Kita telah menempatkan kakitangan pada setiap hari terutamanya hujung minggu dan cuti sekolah kerana  waktu itu ramai pelancong.


“Antara langkah keselamatan kita jika ada orang yang cuba mandi di kawasan larangan, kita akan bunyikan wisel bagi memberi amaran bahawa mereka tidak boleh mandi di situ,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]