Malaysia wajib menang

in Sukan by


MALAYSIAN Tigers  tidak mempunyai pilihan selain menang ke atas Korea Selatan bagi memastikan tiket ke perlawanan akhir Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh.


Selepas dibelasah India 2-6 dalam aksi kedua Super Four kelmarin, anak buah Stephen van Huizen perlu segera kembali ke landasan kemenangan dan memastikan moral tidak terjejas untuk menghadapi aksi terakhir menentang Korea Selatan petang ini.


Jika diikutkan prestasi semasa, pasukan negara boleh menang ke atas skuad kendalian Shin Seok Kyo itu berdasarkan beberapa kemenangan  di Liga Hoki Dunia dan menundukkan pasukan itu 2-1 di peringkat kumpulan baru-baru ini.


Namun, itu bukan jaminan kukuh apatah lagi Korea Selatan juga menunjukkan kebangkitan dalam pusingan Super Four yang berjaya mengikat India dan Pakistan.


Bagi van Huizen, beliau mengakui Korea Selatan akan hadir dengan semangat jitu apatah lagi ini peluang terakhir untuk mereka meraih tiket ke Piala Dunia 2018.


“Kami tewas kepada India 2-6 yang menjadi kekalahan pertama kami. Berhadapan Korea Selatan, situasi tampak berbeza dan sukar dijangka, apatah lagi kedua-dua pasukan mempunyai misi berbeza.


“Saya yakin mereka akan menampilkan persembahan yang baik untuk melunaskan misi layak ke Piala Dunia.


“Tetapi, harus diingat, kami juga mempunyai misi untuk layak ke final Piala Asia ini buat kali pertama dan pemain kami juga bersemangat bagi merealisasikannya,” katanya.


Korea Selatan yang juga juara bertahan Piala Asia edisi lalu telah memenangi gelaran itu empat kali manakala pencapaian terbaik Malaysian Tigers adalah tempat ketiga pada 2007.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]