Masa terbaik Chong Wei fokus kejurulatihan

in Sukan by


BEKAS Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Elyas Omar menyifatkan sudah tiba masa untuk jaguh perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei bersara.


Pandangan tersebut  diluahkan selepas prestasi hambar bekas pemain nombor satu dunia itu pada Kejohanan Dunia, Terbuka Jepun dan yang terbaru – Terbuka Denmark.


Semalam, Chong Wei tewas di pusingan kedua kepada pemain India, HS Prannoy 17-21, 21-11, 19-21 dalam tempoh 64 minit.


Beliau yang menganggap Chong Wei sudah mengalami keletihan fizikal dan mental wajar menggantung raket dan mengubah fokusnya untuk menjadi jurulatih kepada pemain badminton muda negara.


“Kita dah tak boleh jangka Chong Wei akan bertenaga macam dahulu. Walaupun semangat dia masih tinggi, tapi kita boleh tengok tindakan refleks dia sudah mula perlahan.


“Jadi saya tak hairan sebenarnya kalau dia mengalami kekalahan demi kekalahan. Kalau dia menang itu yang saya hairan. Saya kesian tengok dia masih nak mencuba walaupun tahu yang dia sudah melepasi zaman kemuncaknya.


“Bagi saya eloklah kalau dia bersara pada tahap sekarang ini. Dengan cara ini dia boleh membantu dalam melatih budak-budak muda untuk melahirkan pemain yang mampu menjadi sepertinya,” katanya.


Tambah Elyas lagi, jika benar Chong Wei akan bersara dalam tempoh terdekat nanti, beliau mengharapkan pihak BAM dapat memberikan latihan kejurulatihan kepadanya untuk menjadi seorang jurulatih yang baik.


Menurutnya, beliau khuatir jika Chong Wei terus terjun ke dunia kejurulatihan tanpa sebarang kursus atau latihan menjadi seorang jurulatih, beliau tidak mampu menggalas tugas yang diberikan dengan baik.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]