ME2 Board curi tumpuan juri

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Bermodalkan RM300, Kumpulan Strikers XVI dari Politeknik Kuala Terengganu (PKT) berjaya mencuri perhatian juri apabila muncul johan keseluruhan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu 2017 Peringkat Kebangsaan Politeknik Malaysia.


Rekaan kreatif kumpulan tersebut menampilkan produk Multipurpose Educational Electronic Board (ME2 Board) dihasilkan tujuh pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik diketuai Nor Firdaus Zakaria@Muhamad.


Nor Firdaus ketika ditemui berkata, penghasilan projek tersebut telah melalui beberapa fasa, teknik dan alat kawalan kualiti secara sistematik dengan spesifikasi bagi memenuhi keperluan tujuan pengajaran dan pembelajaran (P&P).


“Penghasilan projek ini banyak kelebihan bukan sahaja kepada P&P bagi amali Jabatan Kejuruteraan Elektrik tetapi boleh digunakan untuk tujuan komersial kerana mampu diaplikasikan dalam teknologi pelbagai.


“Idea untuk menghasilkan ME2 Board ini dibuat selepas kami mengenal pasti masalah pelajar khususnya di Jabatan Elektrik dan penghasilan ini turut membantu pelajar untuk menghadapi projek semester akhir.


“Ia sebenarnya memenuhi kandungan silibus politeknik yang boleh digunakan kesemua politeknik serta diaplikasikan untuk keperluan pengguna,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena Konvensyen KIK Horizon Baharu Peringkat Kebangsaan Politeknik Malaysia 2017 di Hotel Permai, di sini.


Nor Firdaus berkata, projek dibangunkan itu boleh menghasilkan aplikasi-aplikasi lain dan disebarkan dalam bentuk lebih luas untuk keperluan pengguna berkaitan sistem kawalan elektrik yang praktikal dan mesra pengguna.


Jelasnya, untuk tujuan pembelajaran, ia juga direka dalam bentuk kecil yang menjimatkan kos dan boleh mengurangkan penggunaan ruang serta memudahkan pensyarah melakukan demonstrasi pengaturcaraan sistem kawalan di dalam kelas atau makmal.


Selain itu, apa yang paling membanggakan apabila ciptaan mereka juga turut mendapat tumpuan dari institusi pengajian tinggi luar negara melalui kolaborasi dengan Universitas Karimun, Indonesia, di samping turut mendapat permintaan dari sekolah-sekolah.


Kumpulan Strikers XVI berjaya membawa pulang piala pusingan dan sijil apabila mengetepikan saingan melibatkan penyertaan keseluruhan sebanyak 29 kumpulan dari 19 politeknik.


Selain Nor Firdaus, Strikers XVI turut dianggotai Zubaidah Awang@Abdul Rahman, Mohd Ariff Ramli, Mohd Hafiz Rosli, Md Hafriz Fikrie Md Hussin, Hairi Hashim dan Mohd Fahmi Abdul Latif.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]