Mohd Elmi juarai peringkat empat Tour De Selangor

in Sukan by


ANAK kelahiran Selayang memanfaatkan kelebihan mengenali selok-belok jalan yang menjadi mainan sejak kecil untuk menjuarai peringkat empat Tour De Selangor bagi laluan Shah Alam ke Kuala Kubu Bharu, pagi tadi.


Pelumba PDRM-G Cycling Team (PDM), Mohd Elmi Jumari menamatkan perlumbaan sejauh 84 kilometer itu turut menyarung jersi Biru selaku Raja Pecut.


Tempat kedua dimenangi pelumba dari Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Zamri Salleh manakala pelumba dari Sitra Kelantan Cycling Team, Saufi Mat Senan di tempat ketiga.


Mohd Elmi berkata, perlumbaan peringkat keempat melalui jalan tempat kelahirannya di Selayang menghala ke Kampung Baru Hulu Yam.


“Perlumbaan hari ini ada dua bukit dan dengan pengalaman yang ada.. saya cuba bertahan kerana saya tidak berapa bagus untuk laluan bukit.


“Laluan tadi juga adalah kawasan kampung saya dan selalu berlatih di situ malah menjadi laluan mainan sejak kecil terutama ketika mula berkayuh pada usia 15 tahun menggunakan basikal lasak.


“Saya juga ucapkan terima kasih kepada majikan saya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila memberi pelepasan sepenuh masa untuk mengikuti latihan,”katanya.


Elmi menyifatkan kemenangan menyarung jersi Biru sebagai satu bonus kerana hanya meletakkan sasaran untuk menaiki podium pada perlumbaan tersebut.


Jersi Kuning (pendahulu keseluruhan) dan Merah (Raja Bukit) kekal milik pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Zawawi Azman yang membolot ketiga jersi utama itu pada tiga peringkat permulaan sebelum ini.


Turut mengekalkan rentak cemerlang, pelumba dari Terengganu Cycling Team (TSG), Muhd Nur Aiman Mohd Zariff apabila menyarung jersi putih selaku pelumba muda terbaik sepanjang empat peringkat perlumbaan.


Tour De Selangor edisi pertama membabitkan 15 pasukan itu akan melabuh tirai melengkapkan peringkat kelima bagi perlumbaan pusingan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam esok membabitkan jarak 112.2 kilometer.


Terdahulu, Tour De Selangor yang membuka tirai pada Isnin lalu menyaksikan pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Zawawi Azman melakar sejarah tersendiri apabila menjuarai perlumbaan peringkat pertama dengan membolot tiga jersi utama.


Pelumba berusia 23 tahun itu menamatkan perlumbaan dalam tempoh dua jam 41 minit 42 saat bagi jarak sejauh 114 kilometer bermula dari Dataran Petaling Jaya ke Kuala Selangor.


Tempat kedua diraih pelumba PDRM-G Cycling Team (PDM), Nik Mohd Azwan Zulkifle dan ketiga dimenangi pelumba Aisan Cycling Team dari Jepun, Ryohei Komori.


Manakala peringkat kedua pada Selasa bagi laluan dari Dataran Kemerdekaan Shah Alam ke Medan Selera Dengkil sejauh 138.2 km dimenangi pelumba PDRM-G Cycling Team (PDM), Mohd Elmi Jumari.


Anggota polis berpangkat Lans Koperal di Bukit Aman berusia 27 tahun itu menamatkan saingan dengan masa tiga jam 10 minit 13 saat.


Tempat kedua dirangkul pelumba Laos dari CCN Cycling Team, Projo Waseso manakala tempat ketiga milik pelumba Aisan Racing Team dari Jepun.


Muhammad Zawawi dari TSC kekal menyarung tiga jersi utama walaupun menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-42.


Sementara itu, saingan peringkat ketiga yang berlangsung Khamis menyaksikan sekali lagi penguasaan pasukan TSC apabila menjuarai perlumbaan menerusi pelumba dari Indonesia, Aiman Cahyadi.


Aiman menamatkan perlumbaan dari Shah Alam ke Pandan Indah sejauh 110 kilometer dengan catatan masa dua jam 39 minit 19 saat.


Tempat kedua dimenangi pelumba pasukan Malaysia, Sofian Nabil Omar Mohd Bakri diikuti pelumba dari Sitra Kelantan Cycling Team, Saufi Mat Senan di tempat ketiga.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]