'Pas bersaing di padang tidak sama rata'

in Politik by


MARANG – Ketua Pemuda Pas menyifatkan parti pembangkang di negara ini tidak mendapat peluang yang adil dalam sistem demokrasi di negara ini.


Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, situasi itu dapat dilihat dalam persediaan pilihan raya, khususnya PRU14 yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.


“Kita perlu menyedari bahawa pilihan raya diadakan di Malaysia masih lagi seperti demokrasi diamalkan di dunia ketiga, pilihan raya di atas padang yang tidak sama rata.


“Walaupun kemungkinan Umno dan Barisan Nasional sentiasa melaungkan berkait dengan demokrasi yang hidup, yang segar tapi hakikat dan realitinya demokrasi pilihan di Malaysia masih lagi di takuk lama.


“Parti parti yang bertanding di dalam pilihan raya tidak bertanding di atas padang sama rata kerana Umno dan Barisan Nasional mendapat ‘advantage’ yang begitu banyak,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.


Beliau berkata, ia begitu ketara berbanding dengan parti-parti pembangkang antaranya  menerusi media massa dan salah guna kuasa yang berlaku dalam jabatan-jabatan kerajaan.


“Saya bagi contoh yang ringkas dan jelas. Baru-baru ini ada didedahkan dan diviralkan di dalam media arus baharu bagaimana seorang menteri kabinet dan pimpinan Umno berkempen secara jelas dan terang di sebuah sekolah yang menjadi milik kepada kerajaan.


“Jadi jika ikut amalan demokrasi, ini jelas bercanggah tapi ia dilanggar dengan begitu sahaja oleh pihak Umno dan Barisan Nasional,” katanya.


Menurutnya, bagaimanapun Pas masih meneruskan perjuangannya di atas wadah demokrasi yang baik walaupun menyedari pelbagai bagai kelemahan kelemahan yang wujud di dalamnya.


“Bila bercakap soal persediaan Pas untuk berhadapan dengan pilihanraya akan datang, Pas sudah bersedia sejurus selepas tamatnya PRU13.


“Gerak kerja parti berjalan di semua peringkat kerana Pas sebagai sebuah parti yang lama, mempunyai akar umbi, mempunyai jentera yang wujud di semua peringkat seluruh negara,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]