Pengalaman ayah 'modal' bernilai

in Edisi by


PASIR PUTEH – Anak peneroka yang juga bekas pelajar Maahad Saniah ini memilih untuk meneruskan usaha bapanya dengan menguruskan ladang lebah kelulut dan kambing susu di pekarangan rumahnya di Felcra Teratak Batu, di sini.


Selepas lima tahun meneliti usaha bapanya, Ahmad Abdul Rashid, 56, menguruskan ladang berkenaan, Nor Amaniena Ahmad, 27, berkeyakinan tinggi untuk meneruskannya bagi menjana ekonomi.


Nor Amaniena berkata, pengalaman bapanya sebagai pengurus Madu Timur (M) Sdn Bhd sebagai ‘modal’ yang tidak ternilai untuk dia menjaga 50 sarang lebah kelulut dan 10 ekor kambing susu.


“Madu kelulut amat tinggi permintaannya dengan harga antara RM180 hingga RM200 sekilogram, antara spesies lebah kelulut di sini adalah trigona scaptotrigona, trigona apicalis, trigona thorasica dan trigona itama.


“Saya percaya jika dijaga dengan baik, jumlah sarang akan meningkat kerana koloni lebah yang menghasilkan telur yang banyak boleh dipecahkan menjadi dua koloni,” katanya.


Menurutnya, apa yang penting adalah memastikan koloni tidak meninggalkan sarang dan lebah kelulut tidak diancam serangga tertentu yang menyerang dan memakannya.


Katanya, setiap seekor kambingnya boleh menghasilkan dua setengah kilogram susu sehari di luar tempoh bunting dan susu segar kambing lazimnya dijual dengan harga RM4 untuk 250 mililiter.


“Kini saya mempunyai dua produk iaitu susu kambing dan madu kelulut, produk campuran susu kambing dan madu kelulut juga mendapat sambutan memberangsangkan kerana ia enak dan berkhasiat.


“Saya tidak risau soal pasaran kerana tidak ada musim pasaran suram untuk kedua-dua produk asli ini, sebanyak mana pun hasil yang kita tuai pasti ada pembelinya,” katanya.


Nor Amaniena berkata, usaha bapanya itu pernah mendapat perhatian Felcra yang menyediakan pagar untuk ladangnya dan Jabatan Pertanian yang menyumbang kini lebah kelulut.


Tambahnya, dia berhasrat untuk menjadi usahawan belia berjaya di bawah bimbingan Felcra kerana masih banyak perlu dipelajarinya dalam bidang perniagaan berasaskan penternakan.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]