Peniaga didenda jual DVD cetak rompak

in Semasa by


PETALING JAYA – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM8,000 atau penjara 12 bulan terhadap seorang lelaki yang mengaku bersalah menjual 226 keping cakera video digital (DVD)  cetak rompak, tiga hari lepas.


Majistret Fadzlin Suraya Mohd Suah menjatuhkan hukuman itu terhada Liaw Chin Choy, 45, kerana  menjual dan mempamerkan DVD pelbagai tajuk berkenaan tanpa sijil perakuan B di kaki lima, hadapan sebuah kedai, di Seri Kembangan, di sini, pada jam 9.30 malam, Selasa lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 18(4)(a) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 18(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.


Ketika rayuan, Liaw, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Chin Le Jy memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh.- Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]