Pusat Intervensi Autisme perlu dana RM30,000

in Edisi Utara by


SUNGAI PETANI – Pusat Intervensi Autisme masih memerlukan bantuan dana kira-kira RM30,000 bagi menaik taraf outdoor gym serta menyediakan tandas dan alat bantuan mengajar.


Pengerusi Pertubuhan Sokongan Ibu Bapa Kanak-kanak Autisme, Syahrul Nizar Abdullah berkata, walaupun tanpa kemudahan asas mencukupi, pihaknya tetap meneruskan pembelajaran yang dimulakan sejak Ogos lalu di premis disewa daripada pihak berkuasa tempatan di Taman Melor.


Menurutnya, setakat ini seramai 10 murid autisme telah mendaftar dengan pembelajaran secara personal selama dua jam bagi satu sesi serta kelas pagi dan petang mengikut jadual, termasuk kelas tambahan setiap Sabtu untuk murid luar yang berminat.


“Outdoor gym sangat diperlukan. Waktu ini kita jalankan di kaki lima dengan kemudahan ala kadar dan menumpang dataran premis bersebelahan,” katanya.


Menurut Syahrul Nizar, kegiatan luar biasanya dibuat sebelum memulakan pembelajaran untuk meningkatkan tahap kecerdasan dan kecergasan murid agar lebih fokus di dalam kelas.


“Bagi menarik perhatian kanak-kanak autisme untuk beri tumpuan dalam kelas, alat bantuan mengajar turut dipelbagaikan dan sering bertukar,” katanya.


Syahrul Nizar berkata, pihak mereka juga memerlukan kemudahan tandas kerana buat masa ini terpaksa menumpang di premis berdekatan.


Selain itu katanya, ruang pembelajaran juga perlu dibesarkan jika bilangan murid bertambah memandangkan kelas sedia ada hanya mampu memuatkan empat orang pada satu-satu masa.


Susulan itu, Syahrul Nizar merayu mana-mana dermawan untuk menyalurkan sumbangan modal, tenaga, alatan mahupun wang ringgit bagi merealisasikan hasrat tersebut.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]