Sedia pemadam api dalam kenderaan

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Orang ramai digalakkan membawa alat pemadam api dalam kenderaan masing-masing sebagai persediaan menghadapi risiko kebakaran semasa dalam perjalanan.


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Penolong Pesuruhjaya Bomba Norazam Khamis berkata, langkah itu wajar berikutan berlaku peningkatan bilangan kebakaran kenderaan yang tidak melibatkan kemalangan pada setiap tahun.


Menurutnya, kadar kebakaran dalam kategori berkenaan tahun ini didapati meningkat lebih 10 peratus berbanding 86 kes sepanjang tahun sebelumnya.   


“Kesedaran orang ramai terhadap perkara ini dianggarkan tak sampai 10 peratus. Sedangkan setiap hari ada kebakaran kenderaan. Sebab itu kita tekankan pada masyarakat melalui pelbagai kempen keselamatan di seluruh negeri ini, kalau boleh sediakan juga alat pemadam api dalam kenderaan.


“Kita maklumkan pada mereka, kebakaran bukan setakat berlaku di rumah. Tapi boleh berlaku pada kenderaan dan sebagainya,” katanya.


Pada masa sama, Norazam turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat pengubahsu-aian pada kenderaan sewenang-wenangnya.


“Contohnya modifikasi pada enjin, alat elektronik dan elektrik kenderaan. Ini boleh mengganggu sistem pendawaian,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Di Bawah Program NBOS7-My Beautiful Neighbourhood JBPM di Taman Jujur, Sikamat, di sini, semalam.


Simbolik penyampaian replika kunci kepada pasangan suami isteri iaitu R Manimaran, 48, dan S Rajathi, 46, disempurnakan Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan, Datuk Jalaluddin Alias.


Turut hadir, Exco Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Datuk Abu Ubaidah Redza dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Amer Yusof.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]