Tak perlu sangsi ketelusan kerajaan BN: Sairin

in Edisi Sabah Sarawak by


KENINGAU – Rakyat tidak perlu lagi sangsi dengan ketelusan kerajaan BN dalam usaha pembangunan negara kerana kerajaan yang mesra rakyat ini terbukti sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dalam apa jua situasi.


Adun Liawan, Datuk Sairin Karno berkata, kerajaan sentiasa mendengar permintaan rakyat asal ia sesuatu yang sangat perlu dan bukan berkepentingan peribadi.


Sairin, yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, berkata atas kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, prestasi kerja kerajaan adalah lebih baik dengan pelbagai pencapaian telah dicipta.


Ketua Umno Bahagian Keningau itu turut menegaskan hasil pencapaian kerajaan di dalam mahupun luar negara juga telah terbukti dan seharusnya kemampuan kerajaantidak diragui lagi.


“Tidak ada sebab bagi pembangkang menuduh kerajaan tidak memberikan apa-apa pembangunan kepada rakyat di negeri ini,” katanya ketika ditemui Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan bersama kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan di sini hari ini.


Mengenai perkembangan di Keningau, khususnya banjir kilat yang melanda beberapa kampung di Liawan baru-baru ini, Sairin berkata beliau telah mengarahkan semua pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan itu supaya sentiasa memantau keadaan dan menyediakan laporan kerosakan infrastruktur akibat banjir.


Beliau juga mengarahkan pemimpin akar umbi di kawasan itu supaya mengemukakan permohonan terus kepada pegawai daerah mengenai pembaikan jambatan gantung yang rosak. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]