Tiada kompromi kelakuan sumbang di pasar raya

in Edisi Johor by


SENAI – Pengurusan pasaraya Econsave tidak akan berkompromi dengan mana-mana perlakuan sumbang dalam kawasan perniagaannya.


Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata pihaknya sentiasa memantau pergerakan pelanggan di dalam atau di luar pasaraya.


Beliau sekali gus menyangkal dakwaan kawasan pasaraya itu dijadikan port dating warga asing dengan perlakuan kurang sopan sehingga mencacatkan pandangan awam.


“Perkara ini sentiasa dalam pemantauan kita, dipantau oleh pengawal, pekerja dan kamera litar tertutup (cctv),” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.


Baru-baru ini, tular di laman sosial mengenai perlakuan sumbang warga asing yang menjadikan kawasan pasaraya itu di cawangan Senai sebagai tempat bermesra.


Mas Imran menegaskan tiga keping gambar yang menunjukkan pasangan lelaki dan perempuan dipercayai warga asing berpelukan yang ditularkan itu berlaku bukan dalam kawasan perniagaannya.


Akuinya, lokasi operasi cawangan Senai bagaimanapun terletak di kawasan Perindustrian Senai menyebabkan ia menjadi tumpuan warga asing sebagai lokasi untuk membeli belah dan berlibur.


“Kita menganggap warga asing ini adalah sebahagian daripada pelanggan yang turut menjana kepada pendapatan pasaraya,” katanya.


Beliau bagaimanapun akan cuba mengadakan perjumpaan dengan pengurusan kilang bagi memberikan maklum balas.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]