Undang-undang tentera di Mindanao kekal

in Global by


MANILA – Presiden Filipina Rodrigo Duterte tidak merancang untuk menarik balik undang-undang tentera di wilayah Mindanao yang terletak di selatan Filipina meskipun Bandar Marawi sudah ‘bebas’ daripada cengkaman ekstremis pro-Islam Daesh (IS), lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan kerajaan.


Duterte pada malam Khamis berkata undang-undang tentera akan dikekalkan sehingga semua kumpulan pengganas di wilayah selatan itu dineutralkan.


“Bila tiba masanya, saya telah mengisytiharkan undang-undang tentera. Semua orang kini bertanya bilakah ia akan berakhir?.


“Ia tidak akan berakhir sehinggalah pengganas terakhir dihapuskan,” kata Duterte pada satu persidangan perniagaan.


Duterte berkata, undang-undang tentera diperlukan bagi memastikan keselamatan rakyat Filipina di Mindanao.


“Beliau mengulangi amaran pihak tentera dan polis bahawa pengganas mungkin akan terus bertindak balas meskipun pemimpin atasan pengganas puak Maute telahpun dineutralkan,” kata pejabat Duterte dalam satu kenyataan.


Kenyataan itu turut menyebut, “Oleh itu, presiden menekankan bahawa undang-undang tentera akan terus dikuatkuasakan di wilayah ini.”


Duterte menguatkuasakan undang-undang tentera di seluruh wilayah Mindanao apabila militan puak Maute dan Abu Sayyaf menawan Marawi pada 23 Mei.


Konflik itu berlanjutan hampir lima bulan dan setakat ini meragut nyawa lebih 1,000 orang, termasuk 163 anggota pasukan keselamatan kerajaan, serta mencederakan lebih 1,700 yang lain.


Pada Selasa, Duterte mengisytiharkan kejayaan membebaskan bandar yang telah musnah itu daripada militan dikaitkan dengan IS.


Bagaimanapun, pertempuran terus berlaku apabila pihak tentera memaksa saki-baki 30 pemberontak keluar dan cuba menyelamatkan tebusan yang masih ditahan.- Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]