Ada peruntukan agenda pembangunan sosial

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberikan peruntukan kepada sektor berkaitan agenda pembangunan sosial pada Bajet 2018.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberikan peruntukan untuk agenda tersebut,  yang merupakan salah satu agenda penting untuk Malaysia.


“Kalau kita lihat Bajet 2009 sehingga Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, agenda sosial begitu besar dan mendalam, melibatkan semua masyarakat dan peringkat.


“Saya percaya, bahawa agenda itu tidak akan lari dalam bajet kali ini. Setiap kali pembentangan bajet yang dibuat oleh Perdana Menteri, banyak peruntukan diberi dalam sektor berkaitan agenda ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Mini Karnival PTPTN Bersama Masyarakat Parlimen Titiwangsa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Perkasa, di sini, hari ini.


Sementara itu, beliau berkata, kerajaan sentiasa menitikberatkan aspek pendidikan dalam kalangan rakyat, dengan memastikan setiap rakyat mendapat kemudahan pendidikan  sepatutnya.


Katanya, ini dibuktikan dengan peruntukan sebanyak RM42 bilion bagi sektor pendidikan pada Bajet 2017 lalu.


“Kalau kita lihat secara purata, kerajaan telah melabur RM700 sebulan kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah.


“Kerajaan percaya bahawa melalui pendidikan, setiap rakyat dapat memajukan diri mereka, sekali gus dapat memberi sumbangan kepada negara,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]