Bonus sebulan memaniskan lagi Bajet 2018: Penganalisis

in Nasional by


SHAH ALAM – Pengumuman pemberian bonus sebulan kepada penjawat awam oleh kerajaan menerusi Bajet 2018 mungkin akan ‘memaniskan’ lagi pembentangan bajet kali ini.


Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, pemberian bonus boleh menggembirakan hati rakyat, selain membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah yang lebih baik.


Menurutnya lagi, ia boleh dianggap sebagai bantuan khas kerajaan kepada penjawat  awam yang akan bekerja keras menjelang  pilihan raya akan datang.


“Bajet 2018 perlu fokus pada soal kebajikan dan pengurangan kos hidup rakyat. Selain itu juga, bajet ini selain berfokus kepada soal rangsangan pertumbuhan ekonomi, ia perlu juga menjadi satu pemangkin menggembirakan rakyat.


“Apa salahnya kerajaan berbelanja bagi tujuan untuk menggembirakan rakyat? Impaknya akan kembali kepada sasaran utama iaitu rakyat dan pasaran,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.


Beliau dalam masa sama turut menolak persoalan Bajet 2018 sebagai bajet pilihan raya.


Ini kerana menurutnya, sudah menjadi tugas kerajaan untuk membentuk bajet setiap tahun bagi perjalanan kerajaan dalam mengurus negara.


“Cuma lebih baik jika elemen pilihan raya diambil kira, kerana dengan itu pastinya banyak projek dan imbuhan dari kerajaan kepada rakyat akan diberikan.  


Kelebihan itu bukan sahaja memanfaatkan kerajaaan malah turut memberi kebaikan kepada  rakyat dan pasaran,” jelasnya.


Shukri dalam masa sama turut mencadangkan kerajaan lebih menumpukan kepada soal kenaikan tangga gaji anggota perkhidmatan awam.


Ini kerana ia lebih memberi keuntungan terhadap penerima secara konsisten.


“Penjawat awam adalah agen terbaik perbelanjaan awam, jadi jika satu juta penjawat awam ini diberikan dana tambahan bagi perbelanjaan harian ditambah pula dengan peranan tujuh juta penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan penerima bantuan sosial lain seperti JKM, maka ia akan menjadi ‘tentera ekonomi’ kepada negara.


“Ia meransang perbelanjaan awam dalam pasaran. Ini adalah usaha kerajaan yang baik dan perlu diteruskan,” katanya lagi.


Beliau dalam masa sama turut menekankan kenaikan kadar pencen di peringkat negeri dan pusat supaya kebajikan warga emas lebih terpelihara.


“‘Bajet Dacing’ perlu ambil kira soal penambahan dan pengagihan projek awam kepada para kontraktor kecil dan sederhana untuk meransang ekonomi dan pada masa sama ia melengkap pembangunan prasarana rakyat. Contohnya perluasan jalan luar bandar, pembaikan jalanraya yang rosak, perkhidmatan awam yang lebih baik.


“Para pekerja di beberapa agensi seperti JASA, BTN, Kemas dan beberapa jabatan strategik kerajaan perlu diberikan jawatan tetap dalam bajet kali ini. Ini bagi menjaga kebajikan anggota awam itu sendiri,” katanya lagi.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]