Bot dinaiki karam, nelayan hilang di laut

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU- Seorang nelayan warganegara Laos hilang di laut setelah bot yang dinaikinya karam, 90 batu nautika dari Kuala Terengganu, semalam.


Timbalan Pengarah Penguatkuasaan dan Eksesais Wilayah Maritim Timur, Komander Maritim Razali Kassim berkata,kejadian berlaku pada kira-kira jam 5.30 pagi dan Pusat Operasi Wilayah Maritim Timur telah menerima maklumat tentangnya dalam lingkungan 11 pagi.


Susulan itu katanya, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC Kuantan) Maritim Malaysia Wilayah Timur pada jam 11.30 pagi.


“Mengikut laporan awal, kejadian berlaku lebih kurang jam 5.30 pagi semalam apabila bot dinaiki mangsa yang masih tidak dapat dikenal pasti identiti itu karam kira-kira 90 batu nautika dari Kuala Terengganu.   


“Selepas menerima maklumat berkaitan kejadian, Maritim melancarkan operasi mencari dan menyelamat dengan mengoperasikan sebuah kapal KM Gemia dan sebuah pesawat Bombadier CL 415 ke lokasi kejadian untuk membuat pencarian,” katanya.


Beliau berkata, ketika kejadian, keadaan laut bergelora dengan ombak setinggi 1.5 meter menyukarkan operasi mencari dan menyelamat dan sektor pencarian adalah sekitar 10 batu nautika radius dari tempat kejadian, berhampiran Pelantar Minyak Angsi.


Katanya, operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada hari ini dengan kapal KM Nusa digerakkan di lokasi pencarian.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]