BPM Sabah rekod 195 kes pokok tumbang

in Edisi Sabah Sarawak by


KOTA KINABALU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah merekodkan 195 kes pokok tumbang akibat cuaca buruk yang melanda pantai barat negeri ini sejak 16 OktoberĀ  lepas.


Menurut kenyataan jabatan itu di sini hari ini, kejadian pokok tumbang yang menjejaskan jalan raya dalam tempoh enam hari sejak 16 Oktober itu merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu sejumlah 128 kes, diikuti kes pokok yang menghempap atau menyebabkan kerosakan pada rumah sebanyak 41 kes.


Turut direkodkan ialah kes pokok tumbang yang menjejaskan prasarana Sabah Electricity Sdn Bhd sebanyak 17 kes dan kes pokok menghempap kenderaan sebanyak sembilan kes.


Mengenai operasi banjir, seramai 2,389 mangsa daripada 553 keluarga di dua daerah terjejas banjir iaitu Kota Belud dan Tuaran dipindahkan setakat 3.30 petang ini.


Seramai 2,101 mangsa daripada 489 keluarga di Kota Belud ditempatkan di lapan pusat pemindahan, manakala 288 mangsa daripada 64 keluarga di Tuaran ditempatkan di dua pusat pemindahan.- Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]