DesaMall@online bantu usahawan desa

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dengan kerjasama Celcom Axiata Berhad dan 11Street memperkenalkan DesaMall@Online bagi memberi peluang kepada usahawan desa memasarkan produk mereka secara atas talian.


Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia juga bakal menjadi platform kepada usahawan desa memasarkan produk ke peringkat lebih tinggi.


“Jika kita lihat dari segi pemasaran produk, usahawan desa mempunyai kesukaran untuk masuk ke pasar raya. Agak jauh juga untuk promosikan ke luar negara, kecuali ada agensi di bawah kementerian buat pameran di luar negara.


“Begitu juga usahawan baharu, mereka pasti ada masalah untuk luaskan pasaran kerana faktor modal.


“Mereka perlu bayar pekerja dan sebagainya, jadi mereka boleh pasarkan produk secara atas talian dan portal ini boleh diakses dari luar negara, dan 11Street akan buat promosi produk tersebut,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KKLW, Celcom Axiata Berhad dan 11Street, di sini hari ini.


Ismail Sabri berkata, urusan secara atas talian adalah masa depan bagi sektor perniagaan.


“Ada 150 usahawan desa berdaftar dengan 11Street dengan lima kluster produk iaitu makanan dan minuman, produk kesihatan dan kecantikan, pakaian, perhiasan dan aksesori serta kraf tangan.


“Setakat hari ini, 65 peratus produk yang dijual secara atas talian adalah makanan dan minuman,” katanya.


 


Menurutnya, pihaknya menyasarkan 500 hingga 1,000 usahawan desa mula berniaga secara atas talian sehingga 2018.

Siti Hasmah Sulaiman dan Juliana Sunardi menunjukkan Tembosa Berisi Ikan dan Tembosa Raja semasa pameran pada Karnival Usahawan Desa 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra. Foto Sinar Harian/Rosli Talib


“Mereka yang terlibat dengan perniagaan atas talian mampu meningkatkan pendapatan sehingga 30 peratus setahun,” katanya.


Beliau berkata, antara objektif DesaMall@Online juga adalah menyediakan platform e-dagang kepada usahawan luar bandar yang mudah digunakan dan diakses melalui aplikasi web serta  aplikasi mudah alih.


“Ia juga membantu usahawan luar bandar menambah baik mutu dan kualiti produk untuk kesediaan berniaga atas talian.


“Sepanjang KUD berlangsung, sambal hitam Pahang antara produk tertinggi menerima pesanan menerusi atas talian,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]