Gerakan NGO Selangor mahu Sarajun Hoda dihukum

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Gerakan NGO Selangor mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap bekas Timbalan Pengerusi Bersih, Sarajun Hoda Hassan yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Islam.


Pengerusi Biro Agama Gerakan NGO Selangor, Mohd Shamsuddin Damin berkata, kenyataan Sarajun Hoda, jelas menghina institusi agama di negara ini.


Menurutnya, kenyataan itu juga secara tidak langsung memperlekehkan institusi diraja yang diketahui mempunyai kuasa dan ketua agama Islam negeri.


“Kenyataan beliau melalui sebuah portal online berbahasa Inggeris tempatan bertarikh 19 Oktober lalu jelas keterlaluan dan menghina institusi agama Islam.


“Kita menggesa polis menyiasat segera dan jika benar, dia perlu dihukum…Kenyataan dikeluarkan Sarajun boleh menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini, malah dia cuba menidakkan Perlembagaan yang mengatakan agama Islam adalah agama rasmi di Malaysia,” katanya selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, semalam.


Hadir sama membuat laporan ialah wakil NGO seperti Perkasa Selangor dan Pertubuhan 99 Kebajikan Insan Selangor (99 Kesan).


Sementara itu, Pengerusi Gerakan NGO Selangor, Nazilah Idris menggesa kerajaan mengembalikan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi membendung mereka yang semakin berani mencabar perlembagaan.


“Kebelakangan ini semakin banyak ancaman terhadap agama Islam dan saya gesa kerajaan kembalikan semula ISA.


“Perkara ini pun pernah berlaku sebelum ini dan perlu dibendung lebih awal, tanpa ISA ramai yang semakin berani mencabar Perlembagaan Malaysia,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]