Ibu masih harap ada keajaiban

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Jauh di sudut hatinya masih berharap ada keajaiban berlaku terhadap anak sulungnya yang terlantar sejak kecil sehingga usianya kini menginjak 31 tahun.


Rugayah Sazar Ali, 59, berkata, keadaan itu berlaku ketika anaknya itu, Rubika Herman berusia dua tahun akibat mengalami demam panas dan sawan tarik.


“Sejak itulah dia hanya mampu terbaring dan sesekali duduk. Tetapi semuanya perlu diuruskan saya. Setiap minggu dia akan mengalami sawan antara dua hingga lima kali, yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.


“Dia tak boleh bercakap, tapi kami faham kalau nak makan dia akan menggigit kain. Saya boleh katakan keadaannya seperti seorang bayi,” katanya.


Malah Rugayah dan suami juga sudah habis ikhtiar untuk mengubati keadaan Rubika, namun dia bersyukur kerana anaknya itu tidak mengalami masalah kesihatan lain.


Pada masa sama, katanya, enam anaknya yang lain tetap rajin membantu menguruskan Rubika dan keadaan itu sudah cukup menenangkan hati Rugayah.


“Nak harapkan saya seorang, memang tak mampu terutama nak angkat Rubika ke bilik air. Walaupun keadaannya sudah bertahun-tahun begitu, saya masih ada simpan harapan supaya dia pulih sekurang-kurangnya mampu menguruskan diri sendiri.

Zulkifli (dua, kanan) meluangkan masa melawat rumah Rugayah.


“Sekarang ini saya dan suami masih ada dan masih sihat.  Bagaimana bila saya tiada nanti? Siapa yang akan urus dan jaga dia, sudah tentulah sebagai ibu saya ada terfikir mengenai itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Flat Seri Mawar Fasa 2 di sini, kelmarin.


Bagi menyara hidup, Rugayah berkata, dia berniaga secara kecil-kecilan di rumah dan bergantung dengan bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM200 daripada Baitulmal selain turut dibantu anak-anak.


“Suami saya pun hanya bekerja sendiri dan baru sahaja sembuh daripada penyakit batu karang.  Hidup kami semuanya sederhana saja kerana kos beli lampin buang Rubika agak tinggi dan perlu menanggung dua lagi anak saya yang masih belajar berusia 14 dan 18 tahun,” katanya.


Terdahulu dia, menerima kunjungan Persatuan Kebajikan Asnaf dan Anak Yatim Kariah Masjid Taman Rasa Sayang (PAFAY) ke rumahnya, kelmarin.


Pengerusi PAFAY, Zulkifli Mohamad berkata, Rugayah termasuk dalam senarai asnaf di bawah kariah Masjid Taman Rasa Sayang.


“Bila datang ziarah, barulah kita tahu dia ada anak orang kurang upaya (OKU). Bagi kami, jumlah bantuan bulanan yang diterimanya itu boleh dikaji semula memandangkan kos yang tinggi diperlukan untuk membeli lampin pakai buang.


“Kita juga diberitahu dia perlukan kerusi roda baru kerana yang lama sudah uzur. Kami akan ikhtiarkan dan pada masa sama turut alu-alukan mana-mana pihak yang mahu membantu,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]