JDT kena elak buat silap

in Sukan by


PENYERANG import Johor Darul Ta’zim (JDT), Gabriel Guerra berkata, Harimau Selatan perlu mengelak melakukan sebarang kesilapan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Perak di Stadium Larkin, malam ini.


Guerra menjelaskan, hanya sedikit kesilapan sahaja boleh mengundang padah kerana Perak pasukan yang terlalu bahaya dan hanya menunggu lawannya melakukan kesilapan.


“Saya tidak menafikan perlawanan babak pertama lalu, persembahan ditonjolkan tidak seperti biasa.


“Apapun ia telah berlalu dan sememangnya ia amat mengecewakan namun kami yakin akan kembali bangkit pada perlawanan separuh akhir kedua nanti dan akan mempamerkan aksi lebih meyakinkan.


“Kami mahu menang dan melangkah ke pentas akhir. Kelebihan beraksi di laman sendiri ini tidak boleh dilepaskan, namun kami tetap perlu berwaspada dan tidak boleh membiarkan lawan menguasai perlawanan,” katanya.


Keputusan seri 1-1 di Stadium Perak, Ipoh, Ahad lalu menyaksikan JDT kini memiliki kelebihan gol tempat lawan manakala Perak pula perlu menjaringkan gol di Larkin untuk memadam kelebihan skuad kendalian Ulisses Morais.


Guerra berharap dapat membantu skuad Harimau Selatan itu melangkah pentas final.


“Saya juga akan cuba sedaya upaya untuk menjaringkan gol dan berikan aksi yang terbaik,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]