Katarak penyebab buta

in Edisi Terengganu by


HOSPITAL Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu menerima lebih 22,000 pesakit yang mendapatkan rawatan mata, yang kebanyakannya menghidap penyakit katarak setiap tahun.


Selain itu, diabetik retinopati, glaukoma, tumor dan masalah ralat refraktif iaitu rabun penglihatan yang tidak dirawat juga antara masalah yang sering dirujuk pesakit ke hospital berkenaan.


Namun, jumlah pesakit katarak  didapati meningkat, seiring dengan peningkatan usia dan peningkatan taraf hidup rakyat di negara ini.


Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) negeri, Dr Saifur Rahman Muhamad berkata, sepanjang tahun lalu sahaja,  1,391 pembedahan katarak dijalankan di HSNZ manakala tahun ini, sehingga September lalu, 1,190 kes pembedahan katarak dijalankan dan dijangka mencecah 1,500 orang menjelang akhir tahun ini.


“Bagi Pantai Timur sahaja, 40,000 pesakit yang mempunyai katarak sedang menunggu untuk dibedah. Di negara kita, antara punca utama masalah penglihatan dan kebutaan yang dikenal pasti melalui Bancian Mata Kebangsaan II (NES II) adalah katarak, diabetik retinopati dan glaukoma, selain dari masalah ralat refraktif.


“Bagi penyakit katarak misalnya, ia sebenarnya boleh dirawat tapi yang paling penting, pengesanan awal penyakit ini. Maknanya, kalau ada masalah, pesakit kena terus datang jumpa doktor dan kita akan rujuk ke bahagian optometris atau ke klinik pakar mata kita.


“Seluruh dunia kini memberi tumpuan dan kesedaran mengenai kebutaan serta masalah penglihatan yang kini menjadi isu global, dengan memberikan tumpuan terhadap isu kebutaan dan masalah penglihatan yang boleh dicegah kepada masyarakat umum,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Penglihatan Sedunia 2017 peringkat negeri yang diadakan di HSNZ di sini, kelmarin.


Turut hadir,  Pakar Perunding Kanan/Ketua Perkhidmatan Oftalmologi negeri, Dr Zuraida Mustari dan Pakar Perunding Oftalmologi HSNZ, Dr Anita Che Omar.


KK1M dapat sambutan


Punca kebutaan paling tinggi di negara ini adalah katarak iaitu sejumlah 58 peratus, menyebabkan kerajaan mula memperkenalkan Klinik Rawatan Bergerak Katarak 1 Malaysia (KK1M Mobile).


Di Terengganu, KK1M Mobile mula diperkenalkan pada tahun 2014, yang mana KK1M Mobile dijalankan dengan menggunakan bas bergerak yang membawa peralatan saringan dan pembedahan ke daerah-daerah lain.


Menurut Dr Saifur Rahman, pada tahun 2016, Jabatan Oftalmologi HSNZ telah membawa perkhidmatan pembedahan ini lebih dekat kepada masyarakat setempat melalui program KK1M Transit dengan menjalankan pembedahan katarak di dua buah hospital yang mempunyai fasiliti dewan bedah iaitu Hospital Besut dan Hospital Kemaman yang tiada pakar oftalmologi residen.

Antara pameran yang disediakan sempena Hari Penglihatan Sedunia 2017 peringkat negeri.


Bermula tahun ini pula, Jabatan Oftalmologi HSNZ mengembangkan perkhidmatan ini ke Hospital Setiu, salah satu perkembangan perkhidmatan oftalmologi negeri Terengganu.


Program ini katanya, memberi manfaat yang besar kepada masyarakat kerana kebolehcapaian perkhidmatan perawatan mata iaitu pembedahan katarak dilakukan dekat dengan masyarakat.


“KK1M ini gunakan bas, yang mana kita berkongsi dengan Pahang dan Kelantan. Setiap tahun, kita dapat gunakan bas ini selama tiga bulan dan pada tahun ini, kita bawa ke Hulu Terengganu dan Besut.


“Bila kita bawa klinik ini di daerah-daerah, masyarakat sangat responsif dan ramai yang datang. Ada segelintir pesakit yang sebenarnya tak nak buat pembedahan kerana tiada kenderaan, jadi bila kita bawa perkhidmatan kita ke kawasan mereka, mereka sambut baik.


“Bila KK1M ini sampai di tempat mereka, masyarakat boleh dapatkan rawatan di klinik bergerak ini dan mana yang perlukan pembedahan, pesakit dari Hulu Terengganu akan dirujuk ke HSNZ manakala pesakit di Besut dibedah di Hospital Setiu memandangkan Hospital Besut sedang dinaik taraf,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]