Keluarga cadang buat kenduri doa selamat

in Edisi Selangor KL by


SABAK BERNAM – Keluarga Nurul Farhana Ahmad, 25, yang pulang ke negara ini, petang semalam selepas menghilangkan diri mengikut kekasihnya warga Indonesia kira-kira dua tahun lalu merancang mengadakan kenduri doa selamat Selasa ini.


Ibunya, Normah Yusof, 51, berkata, majlis doa selamat itu dicadang diadakan di kediaman mereka di Kampung Parit 7, Pasir Panjang, di sini, selepas solat Zohor.


“Saya akan panggil dalam 20 ke 30 orang saudara-mara terdekat untuk sama-sama meraikan dan mendoakan Farhana yang dah pulang ke pangkuan keluarga,” katanya kepada Sinar Harian.


Normah berkata, kepulangan anak tunggal perempuan daripada lima beradik itu diibaratkan seperti mimpi menjadi kenyataan.


“Saya ingat dah tak dapat jumpa lagi Farhana sampai bila-bila.


“Alhamdulillah, akhirnya, anak yang saya kandung sembilan bulan ini dapat ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.


Normah turut menyatakan rasa sayu setiap kali memandang wajah Askara Alfateh Ali, 15 bulan, anak kepada Nurul Farhana.


“Memang saya ada lima orang cucu, tapi yang lain dah biasa dengan saya.


“Bila tengok dia (Askara) saya jadi hiba dan sedih mengenang nasib yang dilalui anak kecil ini,” katanya.


Nurul Farhana bersama Askara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Kedua (KLIA2) dari Medan, petang semalam.


Kepulangannya ditemani Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi yang berjaya menjejaki Nurul Farhana selain menguruskan proses dokumentasi untuk membawanya pulang.


Nurul Farhana hilang dua tahun lalu apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja di kilang memproses sotong kering di Sekinchan.


Kisahnya mendapat perhatian Budiman apabila ibunya memohon bantuan untuk membawa pulang anaknya selepas menerima panggilan telefon dari Nurul Farhana yang mengadu hidupnya sangat susah di Indonesia dan ingin pulang ke Malaysia.

 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]