Kesal permohonan tiada jawapan

in Edisi Johor by


KLUANG – DAP Kluang menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi penjelasan berkaitan penggunaan dan pembinaan rangka pemidang di enam lokasi di daerah ini.


Enam lokasi itu ialah di Bulatan Jalan Besar-Yap Tau Sah, lampu isyarat Jalan Rambutan, Jalan Hashim, Bulatan Jalan Mersing, Bulatan Jalan Batu Pahat dan persimpangan lampu isyarat Jalan Kampung Baru/Jalan Paloh.


Adun Mengkibol, Tan Hong Pin berkata, sehingga kini pihaknya masih tidak tahu bagaimana cara untuk menggunakan rangka pemidang yang disediakan oleh pihak PBT berikutan permohonan mereka sering kali ditolak.


Menurutnya, isu berkenaan sudah beliau ajukan kepada Adun Mahkota, Datuk Md Jais Sarday sewaktu sidang Dun yang lalu.


“Soalan yang saya tanya adalah apakah status kelulusan PBT bagi papan pemidang atau billboard yang didirikan oleh parti politik di enam lokasi di Kluang yang turut dipasang kerangka besi didapati tidak memiliki pelekat kelulusan oleh PBT.


“Jawapan yang saya terima adalah Pusat khidmat Dun Mahkota telah mengajukan permohonan pemasangan papan pemidang pada 11 Julai 2011. Permohonan tersebut telah diluluskan oleh pihak PBT pada 4 Ogos 2011 di tiga lokasi Jalan Batu Pahat, Bulatan Batu Pahat dan persimpangan lampu isyarat Jalan Kampung Baru/Jalan Paloh.


“Saya terima jawapan yang diberikan berikutan dia juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta wakil rakyat di Kluang. Bagaimanapun, saya masih pertikaikan status permohonan pihak kami yang telah dihantar pada 2015 yang masih belum diberi jawapan sehingga kini oleh pihak PBT kawasan,” katanya dalam sidang media di Pusat Komuniti Parlimen Kluang di sini, semalam.


Hong Pin berkata, adakah disebabkan beliau daripada parti pembangkang agak sukar untuk mendapat kelulusan dan tidak boleh menggunakan papan iklan yang disediakan pihak PBT?


Katanya, rangka pemidang yang dibina sepatutnya tidak khusus kepada parti politik sahaja dan boleh digunakan oleh semua termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan peniaga yang ingin mengiklankan sesuatu program atau sebagainya.


Menurutnya, rata-rata pemidang yang dipasang sekarang juga dilihat tiada cop daripada pihak PBT, namun ia masih kekal dan tidak diturunkan.


“Pada awal 2015 lalu, saya telah tulis surat permohonan kepada pihak PBT di tiga lokasi bulatan di Kluang, namun sehingga kini masih tiada jawapan malah dua kali billboard yang dipasang telah dirobohkan.


“Disebabkan itu, saya mahu pihak yang bertanggungjawab memberikan jawapan dan penjelasan. Saya lihat ketika ini ia seakan satu tindakan pilih kasih dan tidak seharusnya jadi satu contoh yang baik,” katanya.


Selain itu, beliau juga mahu pihak berkenaan memberi penjelasan mengenai dana yang dikutip hasil daripada pemasangan rangka pemidang berkenaan.


“Nyatakan hasil kutipannya. Apa yang saya harap biarlah pemasangan pemidang dilakukan secara adil tanpa memilih parti politik atau sebagainya,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]