'Khairy berhak tapis kehadiran, soalan media'

in Nasional by


SHAH ALAM – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berhak menapis kehadiran dan soalan daripada pihak media dalam majlis anjuran kementeriannya.


Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Khas Pejabat Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor, tindakan itu perlu dilakukan oleh Khairy demi memelihara sistem keadilan negara, sekali gus bersikap adil kepada semua pihak.


Menurutnya, jika Khairy tidak bersikap sedemikian, beliau selaku pemimpin negara mungkin terjebak dalam kontroversi cuba dicetuskan oleh media tertentu yang akhirnya mungkin membawa keburukan kepada sesetengah pihak.


“Saya berasa terpanggil untuk menyokong dan memahami tindakan Khairy yang mengarahkan seorang wartawan portal tempatan meninggalkan sebuah majlis anjuran Kementerian Belia dan Sukan, dua hari lalu.


“Pemimpin pembangkang termasuk Tun Dr Mahathir Mahathir (bekas Perdana Menteri) juga dahulu sering mengelak soalan-soalan yang boleh membawa mudarat semasa menjadi Perdana Menteri, selain Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang terkenal dengan sikap bongkak untuk tidak langsung membenarkan media tertentu menghadiri sidang akhbarnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Khairy menerusi laporan portal majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional hari ini menegaskan beliau mempunyai hak untuk menentukan siapa wartawan yang boleh menghadiri majlisnya.


Mengulas keputusannya mengarahkan wartawan sebuah portal beredar dari program MyCorps@Asia Selatan di Kuala Lumpur, semalam, beliau berkata tindakan itu bertujuan memastikan majlis sidang media berjalan lancar.


“Saya berbuat demikian selepas mendapati portal berita itu sering kali melaporkan kenyataan saya secara tidak tepat dan memetik bahagian tertentu sahaja,” katanya.


Mengulas lanjut mengenainya, Rizal turut meminta mana-mana pihak untuk tidak mendakwa Khairy sebagai cuak atau tidak mampu berdepan mana-mana media di negara ini.


“Khairy yang saya kenali, kental jiwanya dan tidak akan mengelak soalan yang lasak, bebas jika tidak kerana memikirkan kepentingan umum.


“Jangan hanya mengkritik Khairy semata-mata, pemimpin pembangkang terutama DAP dan PKR yang juga sebelum ini bersikap berat sebelah terhadap media arus perdana,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]