Maritim patahkan usaha seludup rokok

in Semasa by


ALOR GAJAH – Maritim Malaysia (Maritim) berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok kira-kira 2.2 juta batang rokok putih bernilai lebih RM363,080 termasuk duti import dalam serbuan di perairan Tanjung Gemok, Lukut Negeri Sembilan, awal pagi tadi.


Pengarah Maritim DM5 Kuala Linggi, Kepten Maritim, Ahmad Faridi Ferdaus, berkata, tiga rokok seludup jenama U2, John dan Canyon yang melibatkan cukai import melebih RM44,000 itu dipercayai di bawa masuk dari negara seberang, Indonesia.


Menurutnya, selain rokok, pihaknya turut merampas sebuah bot gentian kaca dengan empat enjin jenis Yamaha bernilai RM250,0000 dalam operasi yang bermula jam 5 pagi itu.


Katanya, hasil maklumat risikan Maritim, anggota penguatkuasa Maritim telah mengesan bot yang mencurigakan sedang membawa rokok seludup berada lebih kurang 6.5 Batu Nautika dari Perairan Tanjung Gemok.


“Bila anggota tiba, penyeludup telah melarikan diri ke hutan paya bakau berhampiran dan menemui 11,000 karton rokok berbagai jenama.


“Kesemua rokok seludup ini akan diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967,” katanya ketika sidang media di Pejabat Maritim DM5 Kuala Linggi tadi.


Jelasnya, rokok seludup berkenaan mendapat permintaan tinggi kerana harga yang murah sekitar RM5 sebungkus dan dan tidak menolak aktiviti penyeludupan itu terus berlaku berikutan permintaan terutama di kawasan Lembah Klang.


“Kita juga meminta kerjasama orang ramai memberi maklumat berkaitan kesalahan maritim dengan menghubungi talian hotline 06-3876804,” katanya.

 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]