Mimbar Masjid Al Mubarak unik

in Edisi by


KEPALA BATAS – Jika bertandang ke Masjid Al Mubarak, Permatang Bogak di sini, pastinya tidak akan terlepas pandang ke arah surut mimbar yang terletak di dalam masjid ini.


Kehalusan seni binanya menandakan ia bukan mimbar baru sebaliknya ukiran dari jenis lama bahkan boleh mencecah sehingga ratusan tahun lalu.


Mimbar itu dikatakan hasil rekaan dan ciptaan anak watan di Kampung Permatang Bogak itu sendiri serta dianggarkan dibina pada zaman kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah.


Pengerusi Masjid Al-Mubarak, Ishak Zakaria, 66, berkata, mimbar yang diperbuat dari kayu jati itu diukir menggunakan seni halus dan ia merupakan ciptaan penduduk kampung itu sendiri.


Menurutnya, daripada cerita generasi terdahulu, mimbar itu dikatakan sudah wujud pada zaman kejatuhan kerajaan Uthmaniyah iaitu sekitar 1914.


“Walaupun mimbar ini sudah berusia sekitar 100 tahun, namun ia tidak pernah diubahsuai kerana mahu dijadikan tatapan generasi muda masa kini dan akan datang,” katanya.


Ishak berkata, jawatankuasa masjid menjaga mimbar yang ditinggalkan itu dengan penuh penelitian supaya ia sentiasa kelihatan cantik dan sedap mata memandang.


“Kalau warna jadi pudar, kita akan cat semula dan cuci habuk-habuk pada celahan kayu bagi memastikan kebersihannya terpelihara.


“Semua ini akan dilakukan oleh ahli jawatankuasa kariah yang datang membersihkan kawasan masjid dan pada aktiviti gotong-royong yang dilakukan bersama penduduk kampung,” katanya.


Katanya, mimbar lama yang terdapat di masjid ini secara tidak langsung menjadi satu tarikan di masjid itu.


“Ada sesetengah jemaah yang datang tak perasan mimbar itu sudah lama. Kalau yang datang itu minat pada sejarah dan sedikit sebanyak tahu tentang seni bina lama, mereka akan terus bertanyakan akan mimbar berkenaan.


“Ini secara tak langsung akan didik jemaah untuk menghargai seni bina Islam selain menambahkan ilmu pengetahuan,” katanya.


Dalam pada itu, Sinar Harian turut sama mendapatkan pengesahan daripada salah seorang ahli jawatankuasa masjid terdahulu yang pernah berkhidmat dalam tempoh lama di masjid itu.


Fadzil Salleh, 85, berkata, setakat yang diketahuinya, tidak ada mimbar yang mempunyai kehalusan reka bentuknya seperti mana mimbar yang ada di masjid berkenaan.


“Mimbar yang lama mungkin ada, tapi kalau dari segi kehalusan seni rekaannya itu mungkin agak sukar ditemui.


“Kalau tak salah ada dua atau tiga masjid yang ada mimbar lama, tapi rekaannya tak sebegini, walaupun dah lama ia masih lagi utuh dan kemas,” katanya.


Penyelaras Pentadbiran Masjid dan Surau Pejabat Agama Daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas, Mohd Yusoff Mohd Desa berkata, diharapkan mimbar itu dapat dikekalkan sebagai salah satu warisan sejarah yang tidak ternilai harganya.


“Saya sendiri dalam usaha mengenal pasti beberapa buah masjid yang mempunyai peninggalan sejarah dalam Kepala Batas ini.


“Ia secara tidak langsung memberi manfaat kepada semua pihak selain menjadikan masjid sebagai tempat perkembangan ilmu,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]