Rindu anyam tudung saji

in Edisi Terengganu by


KAMPUNG BASUNG – Biarpun sarat dengan kerinduan untuk kembali menganyam pelbagai produk termasuk tudung saji daripada tali dan surat khabar bagi membantu suami tercinta, namun keinginan itu sekadar tinggal mimpi buat seorang ibu enam anak di sini.


Kemahiran serta kebolehan Jarah Ismail, 48, menganyam sebagai sumber pendapatan bagaikan ‘diragut’ apabila mengalami masalah kesihatan sejak 10 tahun lalu hingga menyebabkan lemah daya ingatan dan tidak dapat lagi meneruskan minatnya untuk melakukan kerja anyaman.


Kini, tudung saji disimpan sebagai koleksi dan penghias dinding rumah menjadi pengubat rindu sekali gus mengimbau pelbagai memori pernah tercipta termasuk kesungguhan suaminya, Isa Ahmad, 59, mencari rotan dan buluh bagi membantu menyiapkan tempahan terutama tudung saji hasil kraf tangannya.


Berkongsi cerita, Jarah berkata, sebelum ini dia merupakan pengusaha anyaman tudung saji diperbuat daripada surat khabar serta beberapa jenis tali seperti rafia dan tali pengikat kotak, tetapi setelah mengalami demam hingga pengsan, dia tidak dapat lagi berkreativiti kerana masalah lemah ingatan.


“Dua minggu saya berada di Hospital Hulu Terengganu dan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Sejak itu, kadang-kadang saya ingat banyak benda, adakala tidak mengingatinya termasuk cara-cara bagaimana hendak menganyam tudung saji daripada tali dan surat khabar ini.

Antara koleksi anyaman pernah dihasilkan Jarah sebelum mengalami masalah kesihatan.


“Syukurlah, saya masih dapat uruskan kerja rumah. Itu pun banyak dibantu suami dan anak-anak yang kini berusia 10 hingga 23 tahun. Kalau dulu boleh juga dapat sekurang-kurangnya RM100 sebulan hasil tempahan, tapi sekarang tidak dapat lagi bantu suami yang cari rezeki dengan melakukan kerja-kerja kampung.


“Memang teringin untuk usahakannya kembali tetapi tiada berkemampuan lagi. Kalau buat pun hasilnya tidak begitu menjadi  kerana ada benda sudah tidak ingat. Tentunya saya rindu hendak hasilkan kraf secara anyaman ini, namun apakan daya kesihatan diri tidak lagi mengizinkan.


“Lagipun selain kemahiran, kerja-kerja menganyam begitu memerlukan ketelitian selain perlu berfikir untuk hasilkan corak bagi menampakkan hasil kraf dilakukan lebih menarik,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.


Tambah Jarah, biasanya pelanggan akan membawa tali pengikat kotak untuk dianyam menjadi tudung saji dan ada juga tali  dicarinya sendiri selain turut mengetengahkan penggunaan tali rafia,  kertas surat khabar serta buluh dan rotan.


Katanya lagi yang berasal dari Kampung Banggol Donas, Manir, dia pernah mengikuti kursus anyaman bersama Mara sebelum mendirikan rumah tangga dan bermula dari teknik asas anyaman buluh serta rotan dipelajari itu dia berkebolehan menganyam surat khabar serta tali hasilkan pelbagai produk khususnya tudung saji.


Sementara itu,  sejak isterinya alami masalah kesihatan, teman hidupnya itu terpaksa  berhenti menganyam kerana tidak daripada fokus kepada proses-proses anyaman yang dilakukan dan dia juga berharap isterinya sembuh seperti sediakala sekali gus dapat kembali teruskan minat.


“Dulu, hasil anyaman inilah yang tambah pendapatan keluarga dan saya pula sering diminta isteri carikan buluh serta rotan. Teringin juga hendak kembali masuk belukar atau hutan tetapi kalau caripun tidak tahu hendak buat apa kerana saya serta anak-anak tiada kemahiran menganyam,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]