Rondaan lebih kerap

in Uncategorized by


TAIPING – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) sentiasa memandang serius kesalahan yang dilakukan oleh orang awam di kawasan Taman Tasik Taiping.


Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan MPT, Musnarizal Abdul Manap berkata, antara kesalahan dikenal pasti ialah kegiatan memancing, menjaja makanan dan minuman serta membawa masuk kenderaan di kawasan taman.


Menurut beliau, walaupun papan amaran sudah disediakan, namun masih ada individu yang melakukan kesalahan itu seolah-olah tiada kesedaran sivik.


“Tidak dinafikan sepanjang musim cuti persekolahan ini, ramai yang mengambil kesempatan untuk memancing di kawasan Taman Tasik Taiping.


“Perbuatan tersebut satu kesalahan, dan orang ramai sememangnya tidak dibenarkan untuk memancing di kawasan ini,” katanya, semalam.


Katanya, pihaknya sentiasa mengadakan rondaan bagi memastikan kegiatan tersebut tidak terus berleluasa.


“Bagaimanapun, rondaan lebih diberikan keutamaan pada Sabtu dan Ahad berikutan kekurangan anggota bertugas.


“Tambahan pula, penguatkuasaan terhadap aduan-aduan lain juga turut diberikan perhatian,” katanya.


Tambah Musnarizal, sepanjang operasi kawalan taman tasik yang diadakan bermula jam 2 hingga 6 petang, Rabu lalu, sebanyak 22 kes dikenakan kompaun atas kesalahan meletak kenderaan di dalam kawasan taman.


“Setiap hari anggota penguat kuasa akan melakukan rondaan bagi memastikan kawasan taman tasik tidak dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]