Sanchez, Ramsey cergas hadapi Everton

in Sukan by


ARSENAL bertandang ke Goodison Park malam ini dengan diiringi berita gembira apabila dua pemain tonggak mereka Alexis Sanchez dan Aaron Ramsey sah cergas untuk diturunkan.


Kedua-dua pemain itu tidak diturunkan sejak kembali daripada tugas antarabangsa, awal bulan ini, selepas masing-masing mengadu masalah paha dan hamstring.


Bagaimanapun pengurus Arsenal, Arsene Wenger pantas mengesahkan kedua-dua pemain itu telah diberi lampu hijau untuk bermain dalam usaha The Gunners memburu kemenangan dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).


“Sanchez, dan Ramsey sudah pulih tapi malangnya Danny Welbeck, dan pemain pertahanan, Shkodran Mustafi, tidak akan tampil sebelum jadual perlawanan antarabangsa, bulan depan.


“Welbeck direhatkan kerana mempunyai masalah pangkal paha, saya fikir ia memerlukan dua atau tiga minggu untuknya kembali, dia tidak akan beraksi sebelum rehat antarabangsa.


“Mustafi pula tidak akan kembali, begitu juga David Ospina. Keadaan Ospina tidak begitu buruk, dia mempunyai masalah pangkal paha dalam beberapa minggu.


“Calum Chambers juga akan kembali selepas rehat antarabangsa tapi pemain lain baik-baik saja. Saya yakin kita mampu meraih kemenangan nanti,” katanya.


Arsenal berada di tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL), berkongsi kedudukan dengan juara bertahan, Chelsea, dan sembilan mata di belakang pendahulu, Manchester City.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]