Sektor pendidikan perlu diutamakan

in Nasional by


MELAKA – Sektor pendidikan perlu diberi keutamaan dalam Bajet 2018 akan datang bagi memastikan agenda pembangunan modal insan dan pengeluaran sumber manusia yang berkualiti dapat dilahirkan mengikut keperluan pasaran pekerjaan semasa.


Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Datuk Dr Shahrin Sahib berkata peruntukan yang mencukupi dalam sektor pendidikan selaras dengan fokus yang perlu diberi perhatian menerusi pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).


“Kita sedia maklum ekonomi dunia kini berada pada peringkat cabaran dan secara tidak langsung turut memberi kesan kepada ekonomi negara namun kita mengharapkan Bajet 2018 akan terus memberi keutamaan dalam sektor pendidikan.


“Ia kerana Revolusi Industri 4.0 yang bakal kita tempuhi memerlukan peruntukan yang agak besar untuk penambahbaikan dari segi prasarana,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Penghargaan Media bersama UTeM di sini, malam tadi.


Pada majlis tersebut, lebih 50 pengamal media cetak dan elektronik di Melaka diraikan sebagai penghargaan terhadap kerjasama yang diberikan dalam pelbagai laporan serta berita positif berkaitan universiti teknikal awam tersebut.


Shahrin berkata peruntukan yang mencukupi dijangka dapat membantu sektor pendidikan negara berkembang dan bersaing dengan lebih baik pada peringkat antarabangsa.


“Dana pembangunan ini penting bagi UTeM dalam usaha kita memastikan segala perancangan yang perlu diberi keutamaan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.


Sementara itu, beliau berkata UTeM akan terus meningkatkan persepsi positif institusi itu pada peringkat tempatan dan global serta peranannya dalam industri teknikal negara menerusi media cetak dan elektronik.


“Saya dimaklumkan pada tahun ini sahaja 533 berita atau laporan tentang UTeM, pencapaian serta kejayaan yang dicapai telah dilaporkan serta jumlah berkenaan adalah sekali ganda berbanding tahun lepas,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]