Selam sambil pantau karang

in Edisi by


MERSING – Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) memerlukan lebih ramai penyelam ‘EcoDiver’ dalam usaha melestarikan ekosistem terumbu karang.


Pengarah JTLM Negeri Johor, Mohd Nizam Ismail berkata, penyelam EcoDiver juga penting untuk membantu pihaknya dalam pengawasan kesihatan terumbu karang selepas dilatih oleh jurulatih yang diiktiraf Reef Check Malaysia.


“Kami memang galakkan penyelam-penyelam untuk menyelam dengan tujuan bukan sekadar suka-suka.


“Ini supaya apabila mereka turun ke dasar laut, mereka tahu dan ada ilmu malah mereka turut bersama-sama dengan kami memantau kesihatan karang,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program Projek Pemantauan Kualiti Terumbu Karang Menggunakan Kaedah Reef Check di Pulau Aur, minggu lalu.


Dalam program itu, penyelam yang terdiri daripada anggota JTLM Johor, rakan media dan Tourism Malaysia Wilayah Selatan serta pengusaha resort mengikuti kelas pengenalan EcoDiver bersama jurulatih, Bahrinah Bahrim.


Lokasi pemantauan terumbu karang


Mohd Nizam berkata, Pulau Aur merupakan tapak cadangan baharu untuk pemantauan kesihatan terumbu karang bagi tahun hadapan.


Menurutnya, di Johor, terdapat tiga pulau yang merupakan tapak pemantauan kesihatan terumbu karang iaitu Pulau Tinggi melibatkan empat lokasi, Pulau Sibu (enam lokasi) dan Pulau Pemanggil (empat lokasi).


“Jadi, Pulau Aur ini kita cadangkan untuk lokasi tapak pemantauan baru tahun depan bagi melihat impak ekopelancongan dan kesihatan terumbu karang.

Mohd Nizam (kanan) bersama pengusaha Sebukang Bay Resort dan peserta program di Pulau Aur.


“Kita belum ada rekod tahap kesihatan terumbu untuk Pulau Aur setakat ini,” katanya.


Beliau berkata, bagi tahun 2016, pemantauan menunjukkan peningkatan hidupan batu karang hidup di tiga tapak pemantauan berkenaan.


“Pulau Tinggi 64.2 peratus, Pulau Sibu 68.2 peratus dan Pulau Pemanggil 48.2 peratus. Status terumbu karang di Pulau Pemanggil sederhana baik kerana keadaan perairannya yang dalam.


“Bagaimanapun, kita berasakan satu keperluan untuk memantau tahap kesihatan terumbu karang di Pulau Aur. Jadi kami galakkan penyelam-penyelam untuk menyertai projek sukarelawan EcoDiver ini dengan mendapatkan latihan. Kita perlukan lebih ramai dan mengalu-alukan penyertaan mereka,” katanya.


Lahir penyelam berilmu


Sementara itu, Bahrinah yang juga Timbalan Pengarah JTLM Johor berkata, penganjuran program EcoDiver di Pulau Aur adalah inisiatif pihaknya dalam memberi pendedahan kepada penyelam mengenai asas EcoDiver itu sendiri.


“Kami mahu penyelam-penyelam ini lebih berilmu dan mengenal terumbu karang supaya kita dapat sama-sama bertanggungjawab menjaga kawasan Taman Laut yang merupakan khazanah negara,” katanya.


Beliau berkata, penyelam perlu lulus dalam kursus bersama Reef Check sebelum mereka layak menerima pengiktirafan sebagai EcoDiver.


“EcoDiver ini salah satu kemahiran di Malaysia yang diiktiraf oleh Reef Check Malaysia dan JTLM Johor. Ia melayakkan penyelam itu untuk bersama-sama JTLM membuat pemantauan kesihatan terumbu karang sekali gus membantu mengenal pasti tahap kesihatan ikan, invertebrata dan batu karang.


“Tugas ini juga meliputi impak terhadap terumbu karang sama ada kerana sebab semula jadi, manusia atau kelunturan karang.


 “Jadi, marilah kita sama-sama menjadi penyelam yang berhemah dan berilmu demi kesihatan terumbu karang kita,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]