'Tidak perlu keluar parti sokong Harapan'

in Politik by


ALOR SETAR – Mana-mana ahli Pas tidak perlu keluar daripada parti itu bagi menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan.


Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, kehadirannya ke Konvensyen Nasional Amanah adalah kerana komitmen ditunjukkan Amanah bersama Pakatan Harapan untuk mengubah   kuasa politik dalam negara.


“Tak perlu keluar parti untuk beri sokongan sebab Harapan sahaja yang tunjuk komitmen mahukan perubahan politik, ini tidak ada pada gagasan sejahtera diketuai Pas. Pas hanya sasarkan 40 kerusi pada PRU14, jadi tak nampak macam usaha mahu ambil kuasa dari BN,” katanya.


Menurutnya, Pas kini dilihat bukan sebuah parti yang bersama rakyat mahu membawa perubahan dalam negara.


“Pas macam tak bersedia ambil kuasa, jadi kita beri sokongan tanpa keluar parti untuk ambil alih kuasa politik, pada masa sama selesaikan masalah rakyat,” katanya.


Mahfuz hadir bersama tiga lagi pemimpin Pas yang disifatkan ‘mesra Pakatan’, iaitu Ketua Pembangkang Dun Kedah, yang juga Adun Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah; Mohd Nasir Mustafa (Adun Kubang Rotan) serta Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Adun Batu Burok).


Mahfuz berkata, beliau menerima jemputan daripada Amanah dan kehadirannya itu bagi menunjukkan sokongan kepada Harapan.


“Saya percaya Pas tidak akan kenakan tindakan kepada saya, ini keterbukaan berpolitik. Ahli politik boleh hadir majlis politik, bukan kesalahan jika sokong politik yang lebih terbuka,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]